Pesara jual tanah untuk tunai haji



GAMBAR (dari kiri): Ahmad Said dan Dahlan Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR: Keinginan untuk menunaikan Rukun Islam kelima membuatkan pesara tukang kebun nekad menjual tanahnya semata-mata untuk membolehkannya dan isteri menunaikan ibadah haji.

Ahmad Said, 68, dari Manjung, Perak bagaimanapun tidak pernah menyesal tindakannya menjual tanah miliknya kerana memikirkan hanya dengan cara itu saja dia bersama isteri, Khatijah Mat Isa, 62, dapat menjejakkan kaki ke bumi Makkah.

Beliau bersyukur dalam usianya yang agak lanjut masih berpeluang menunaikan ibadah haji yang selama ini sudah lama dipendamnya.


"Saya tidak ralat menjual tanah kerana cara ini saja saya boleh mendapatkan sumber kewangan bagi menampung kos perbelanjaan menunaikan haji.

"Jika diikutkan gaji bekas tukang kebun, berapa sangat yang dapat disimpan, tapi keinginan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci yang tidak pernah padam membuatkan saya memutuskan menjual tanah milik kami," katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, di sini, semalam.

Beliau antara bakal jemaah haji KT4 yang menaiki Penerbangan Malaysia (MAS) MH8804 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 7.10 malam, semalam.


Ahmad Said yang mempunyai 13 anak, 55 cucu dan lima cicit berkata, meskipun boleh mengharapkan bantuan anaknya, beliau tetap mahu berusaha sendiri mencari wang untuk ke Tanah Suci.

"Meskipun kami ada ramai anak, mereka mempunyai tanggungjawab masing-masing kepada keluarga. Jadi, saya cari ikhtiar sendiri untuk ke Makkah," katanya.

Mengenai perasaannya bakal menjejakkan kaki buat pertama kali di Makkah, beliau berkata, perasaannya bercampur baur antara gembira dan risau kerana tidak mengetahui keadaan sebenar di sana.

"Apapun, kami serahkan kepada Allah kerana Dia yang maha mengetahui dan menentukan segala-galanya," katanya.

Peneroka dari Felda Trolak Timur, Dahlan Abdul Rahman, 65, turut bersyukur kerana hasil penat lelahnya mengumpul duit sejak lebih 20 tahun lalu akhirnya membuahkan hasil.

"Setiap bulan saya tidak pernah gagal untuk menyimpan RM100 duit hasil menjual kayu getah dalam Tabung Haji dan selepas berpuluh tahun sabar menanti, syukur impian saya dan isteri, Kamariah Ishak, 55, untuk ke Makkah tercapai," katanya.

Beliau juga tidak pernah mengharapkan bantuan anak untuk menunaikan haji tahun ini kerana anaknya juga bukan daripada golongan berkemampuan.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya mendapati orang ramai mulai membanjiri kompleks berkenaan sejak jam 3 petang untuk menghantar jemaah haji.

Tabung Haji menyediakan khemah di pekarangan kompleks untuk keselesaan bakal jemaah dan ahli keluarga sementara menunggu kebenaran mendaftar masuk.

0 comments: