Oleh AMIRUDDIN HARUN dan NOOR AZMAH IBRAHIM
|
|
SHAH ALAM 12 Nov. – Seorang pakar forensik digital memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mempunyai imej kenderaan pacuan empat roda jenis Suzuki Jimny di laluan Plaza Tol Kota Damansara pada 19 dan 20 Oktober 2006 tidak pernah diganggu atau diubah.
Mohd. Zabri Aidil Talib yang juga Juruanalisis Kanan Forensik Digital, Cybersecurity Malaysia membuat kesimpulan itu dengan alasan pergerakan imej serta masa rakaman yang tertera di dalamnya adalah konsisten.
‘‘Analisis ke atas frame-frame di dalam working copy (salinan daripada pita asal) serta masa khusus (time stamp) yang diberi mendapati semuanya konsisten.
‘‘Jika ada gangguan, pergerakan imej tidak konsisten atau tidak lancar kerana mungkin berlaku suntingan. Masa yang dirakamkan pada setiap frame juga akan melompat-lompat atau tidak konsisten,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah pada sesi pemeriksaan semula.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin masuk hari ke-57 hari ini.
Menjawab soalan peguam Ahmad Zaidi Zainal, Mohd. Zabri berkata, analisis untuk mengesan gangguan hanya dibuat pada masa tertentu iaitu 15 minit awal dan 15 minit selepas empat masa khusus yang diberikan oleh pengawai penyiasat, Asisten Supritendan (ASP) Tonny Lunggan.
Saksi pendakwa ke-49 itu memberitahu, analisis juga dibuat pada working copy yang didapati tiada sebarang perbezaan dengan salinan asal bagi tujuan meminimumkan risiko kerosakan.
‘‘Saya pastikan salinan asal juga tidak diganggu melalui hasil kiraan nilai md5 terhadap fail atau pita asal tersebut dan dibandingkan dengan working copy.
‘‘Saya dapati kiraan md5 di pita asal dan working copy adalah sama. Jika ia tidak sama, saya akan catat dalam laporan. Ia adalah fail yang sama. Identical (serupa) bermakna tiada tampering (pengubahan) pada fail CCTV tersebut. Setiap frame adalah konsisten pada fail working copy,” jelasnya.
Tambah Mohd. Zabri, setiap penemuan daripada analisis yang dilakukan pada rakaman CCTV diperiksa balas (cross check) oleh seorang lagi juruanalisis iaitu Razana Md. Salleh.
Menurut beliau, pendapat Razana turut diambil kira dalam setiap penemuan malah mereka berdua mengadakan perbincangan untuk mengesahkannya.
Mohd. Zabri juga mengaku laporan hasil analilisnya disahkan oleh tiga pegawai atasannya termasuk Ketua Jabatan Forensik Digital Cybersecurity Malaysia, Aswami Fadillah Mohd. Arifin.
Bagaimanapun, jelas beliau, pengesahan dan pemeriksaan balas itu bukan bermakna laporan tersebut tidak tepat atau konklusif tanpa kedua-duanya, sebaliknya ia merupakan formaliti bagi mematuhi prosedur operasi ( SOP) yang ditetapkan.
‘‘Cross check terhadap hasil analisis dan pengesahan pegawai atasan itu hanya formaliti yang bermakna laporan ini dikeluarkan oleh CyberSecurity Malaysia mengikut SOP yang diguna pakai,” katanya.
Menjawab soalan Hakim Mohd. Zaki, kata Mohd. Zabri, imej pemandu Suzuki Jimny di dalam rakaman CCTV langsung tidak dapat dilihat walaupun beliau menggunakan teknologi forensik digital paling terkini iaitu Video Focus.
Dalam kes itu, Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, didakwa membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh dibicara bersama penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda yang didakwa bersubahat dengan mereka melakukan pembunuhan tersebut di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.45 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Oktober tahun lalu.
Perbicaraan bersambung esok.
0 comments:
Post a Comment