35 peratus graduan masih menganggur

Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Kira-kira 35 peratus daripada graduan yang menamatkan pengajian mereka sejak enam bulan lalu masih menganggur.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Prof. Dr. Hassan Said berkata, jumlah itu bagaimanapun masih rendah jika hendak dibandingkan dengan negara-negara lain.

‘‘Puncanya pada graduan kita yang masih takut untuk mencuba sesuatu yang baru dan berlainan daripada apa yang telah mereka belajar.

‘‘Graduan kita terlalu fokus (pada satu perkara) dan tidak memandang kerja lain yang dirasakan tidak ada kena-mengena dengan kelulusan mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama seminar pendidikan tinggi Arah, Cara dan Cabaran Baru Era PekerjaanGraduan di sini hari ini.

Seminar dua hari yang berakhir esok dihadiri kira-kira 200 wakil institusi pengajian awam dan swasta (IPTA/IPTS) serta politeknik dari seluruh negara.

Ia merangkumi lima sesi pembentangan termasuk forum yang membincangkan isu pekerjaan graduan selepas menamatkan pengajian di universiti.

Tambah Hassan, setiap graduan seharusnya memiliki kemahiran yang boleh ‘diubah suai’ dan tidak terikat dengan kursus yang diambil sahaja untuk bersaing bagi mendapatkan pekerjaan.

‘‘Kelemahan mereka menguasai pelbagai bidang dikenal pasti menjadi antara punca mereka gagal dalam temu duga untuk mendapatkan pekerjaan selain tiada pengalaman bekerja,” ujarnya.

Jelasnya, keutamaan selepas ini juga akan diberi kepada kerjasama antara universiti selain pendedahan terhadap sektor pekerjaan.

‘‘Kita mahu graduan sudah tahu tentang skop kerja mereka selain mengembangkan kemahiran mereka sendiri,” ujarnya.

0 comments: