Malaysia mula sanggah Singapura

Oleh Khirul Bahri Basaruddin di The Hague, Belanda

PASUKAN Malaysia diketuai Duta Tugas-tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad akan memulakan kes mereka hari ini untuk membuktikan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) negara ini pemilik asal Pulau Batu Puteh sejak kewujudan Kesultanan Johor, 300 tahun lalu.

Abdul Kadir yang bertindak sebagai Ejen Malaysia dalam perbicaraan berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Middle Rocks dan South Ledge, akan membentang kes Malaysia bagi menyanggah semua hujah Singapura yang dikemukakan selama empat hari, minggu lalu.

Beliau akan memulakan kes negara dengan ucapan pembukaan untuk membentangkan gambaran keseluruhan melalui hujah berdasarkan fakta sejarah, peta dan undang-undang selama empat hari yang ditetapkan untuk Malaysia.


Selain mengemukakan hujah Malaysia pemilik asal pulau yang menjadi pertikaian itu, pasukan negara juga akan menyanggah hujah Singapura bahawa Pulau Batu Puteh tidak bertuan sebelum ditemui penjajah British.

Abdul Kadir dijangka berucap kira-kira 30 minit diikuti Ejen Bersama, Duta Malaysia di Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin yang mengemukakan hujah mengenai sejarah Rumah Api Horsburgh, Pulau Pisang dan rumah api yang diwujudkan di Selat Melaka.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pula akan berhujah berhubung tarikh penting pertikaian Malaysia-Singapura bermula berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh.


Peguam Diraja, Prof Sir Elihu Lauterpacht kemudian akan mengemukakan hujah undang-undang untuk membuktikan kes Malaysia di depan 14 hakim tetap dan dua hakim ad hoc ICJ.

Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh mempengerusikan perbicaraan kes itu bersama Raymond Ranjeva (Madagascar), Shi Jiuyong (China), Abdul G Koroma (Sierra Leone), Gonzalo Parra Aranguren (Venezuela), Thomas Buergenthal (Amerika Syarikat.

Hisashi Owada (Jepun), Bruno Simma (Jerman), Peter Tomka (Slovakia), Ronny Abraham (Perancis), Kenneth Keith (New Zealand), Bernardo Sepulveda Amor (Mexico), Mohamed Bennouna (Morocco) dan Leonid Skotnikov (Russia).

Malaysia melantik Christopher S R Dugard dari Afrika Selatan dan Singapura, Pemmaraju Sreenivasa Rao dari India, sebagai hakim ad hoc.


Mengikut Perenggan 2, Perkara 17, Statut ICJ, Presiden ICJ, Hakim Rosalyn Higgins tidak boleh mendengar kes itu kerana beliau pernah mewakili Singapura sebelum pelantikannya ke jawatan tertinggi di mahkamah itu.

Semua 16 hakim, termasuk Awn Shawkat, akan mengundi untuk menentukan keputusan kes itu.

Pada 19 dan 20 November ini, iaitu ketika pusingan kedua, Singapura akan menjawab hujah Malaysia diikuti Malaysia pada 22 dan 23 November. Keputusan kes dijangka diketahui Jun tahun depan.

Pada 2003, kedua-dua negara mengemukakan bersama kepada ICJ pertikaian berhubung kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, Middle Rocks dan South Ledge.

Mereka memberitahu ICJ mengenai kes itu melalui Perjanjian Khas ditandatangani oleh Malaysia dan Singapura pada 6 Februari tahun itu di Putrajaya dan dikuatkuasakan pada 9 Mei tahun sama.

INFO: Malaysia kemuka bukti kepada ICJ

  • Pasukan negara diketuai Duta Tugas-tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad.
  • Duta Malaysia di Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin akan mengemukakan hujah mengenai sejarah Rumah Api Horsburgh, Pulau Pisang dan rumah api yang diwujudkan di Selat Melaka.
  • Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pula akan berhujah berhubung tarikh penting pertikaian Malaysia-Singapura bermula berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh.

0 comments: