'Kaji dua subjek guna bahasa Inggeris'

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran diminta mengkaji secara menyeluruh keberkesanan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (BI) berikutan prestasi murid yang menurun dalam dua subjek itu sejak pelaksanaannya pada 2003.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kebangsaan, Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan, berkata sewajarnya pengajaran BI diperkukuh dan dimantapkan terlebih dulu.

"Kita tidak mahu keputusan yang dibuat berhubung pengajaran Sains dan Matematik dalam BI ini kelak akan mengakibatkan prestasi pembelajaran murid kita menurun," katanya ketika ditemui di Balai Berita di sini, semalam.

Perkara itu antara 21 resolusi hasil daripada Konvensyen Kebangsaan PIBG 2007 bertemakan Bersama Menangani Gejala Disiplin Murid di Melaka, Ahad lalu.

Resolusi itu diserahkan kepada Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan, Zulkifly Mohd Wazir.

Selain PIBG, saranan yang sama turut disuarakan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pada Perhimpunan Agung Umno minggu lalu yang mahu pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik di sekolah rendah dikendalikan semula dalam bahasa Malaysia, manakala teknik pengajaran BI dimantapkan sebagai langkah lebih logik bagi menangani masalah penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar Melayu.

0 comments: