Oleh Hardi Effendi Yaacob
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang memperalatkan kanak-kanak sebagai perisai manusia dalam perhimpunan haram.
Beliau berkata, perbuatan itu dikesan dalam perhimpunan haram di Dataran Merdeka, Sabtu lalu, dan menyifatkannya sebagai kurang waras dan tidak berperikemanusiaan.
"Perbuatan ini melampau kerana mendedahkan anak kecil yang tidak berdosa kepada bahaya. Kita tidak boleh berkompromi dalam hal ini dan hukuman setimpal perlu dikenakan terhadap mereka yang terbabit.
"Tindakan juga boleh diambil mengikut Akta Kanak-Kanak 2001," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Sebelum itu, beliau menyaksikan majlis serah tugas di antara Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz dan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Ismail Omar di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman.
Ismail dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baru menggantikan Najib yang bersara wajib.
Musa mengulas perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) di Dataran Merdeka, Sabtu lalu, yang dikatakan turut disertai kanak-kanak serta digunakan sebagai perisai manusia untuk menghalang tindakan polis.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, polis terpaksa menggunakan semburan air dan gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka yang berhimpun secara haram itu, kebanyakannya penyokong parti pembangkang.
Perhimpunan itu diharamkan berikutan permohonan permit penganjur ditolak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, 6 November lalu, selepas mengambil kira faktor keselamatan dan ketenteraman awam di ibu negara.
Diminta mengulas lanjut, Musa berkata, siasatan terperinci akan dilakukan ke atas gabungan itu yang berdegil dan tetap meneruskan perhimpunan walaupun permohonan permitnya tidak diluluskan polis.
"Kita akan siasat mereka yang menjadi dalang dalam perhimpunan itu. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka kerana menimbulkan kekecohan dan kesusahan kepada orang ramai... kedai terpaksa ditutup dan lalu lintas sesak.
"Polis sudah mengeluarkan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak membabitkan diri dalam perhimpunan itu. Kita sudah suruh mereka (peserta) bersurai tetapi ada yang berdegil, malah ada yang mencabar anggota polis," katanya.
Mengenai maklumat perhimpunan kedua akan diadakan di tempat sama dalam tempoh tiga minggu lagi, Musa berkata, polis sudah bersiap sedia untuk menghadapinya.
"Polis tidak boleh berkompromi dalam isu keselamatan negara dan ketenteraman awam. Kita tidak halang sesiapa pun mahu buat acara atau majlis tertentu tetapi jangan sampai ke peringkat menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.
"Seperti yang berlaku Sabtu lalu, memang kita jangka perkara ini boleh berlaku dan atas sebab itulah, permohonan permitnya tidak diluluskan. Jika kita tidak puas hati mengenai sesuatu perkara, kita buatlah dialog atau perbincangan, bukannya tunjuk perasaan atau demonstrasi," katanya.
Musa berkata, polis sudah membebaskan 245 orang yang ditahan kerana menyertai perhimpunan haram itu kelmarin selepas keterangan mereka diambil bagi membantu siasatan.
Beliau menganggarkan kira-kira 4,000 orang berkumpul secara haram di Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya sehingga ke Masjid Jamek dan Istana Negara.
"Syukurlah, pegawai dan anggota saya dapat melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang... semua peserta dapat disuraikan tanpa membabitkan sebarang insiden kekerasan atau kejadian tidak diingini," katanya.
0 comments:
Post a Comment