207 teknologi baru pertanian

KUANTAN 12 Nov. – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya menghasilkan 207 teknologi baru berkaitan pembangunan serta pengembangan bidang pertanian setakat ini.

Pengarah Promosi dan Pembangunan Teknologinya, Datuk Dr. Masri Muhamad berkata, daripada jumlah itu, hanya 39 buah teknologi atau 19 peratus yang dilihat sebagai memiliki potensi untuk dikomersialkan.

Sehubungan itu, jelas beliau, MARDI sedang mengatur rancangan bagi meningkatkan jumlah pengkomersialan teknologi barunya.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK), 7.5 peratus teknologi tersebut telah berjaya dikomersialkan iaitu melepasi kadar purata nasional sebanyak 5.1 peratus, MARDI mensasarkan untuk meningkatkan kadar pengkomersialan kepada 14 peratus menjelang RMK-9,” katanya di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh wakilnya, Ramli Man sempena perasmian program Hari Bersama Pelanggan MARDI yang diadakan di Stesen MARDI Sungai Baging.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Inderapura, Shafik Fauzan Sharif mewakili Timbalan Menteri Besar, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak.

Diperakui

Tambah beliau, pihaknya yakin akan dapat mencapai peratusan pengkomersialan yang tinggi memandangkan teknologi pertanian MARDI diperakui banyak pihak.

Dalam pada itu, Dr. Masri menambah, program bertemu pelanggan yang diadakan hari ini melibatkan beberapa aktiviti menarik seperti forum teknologi melibatkan pembentangan tiga kertas kerja, pameran statik, pameran bahan induk melibatkan baka lembu Brakmas serta kambing biri-biri Dorper dan sebagainya.

0 comments: