Kes bunuh Altantuya: Imej pemandu jip milik tertuduh kedua tak jelas

Oleh Norhashimah Mohd Radzali


SAKSI KE-52: Aswami ketika memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Penggunaan teknologi terkini tidak mampu kenal pasti gambar CCTV

SHAH ALAM: Imej pemandu jip milik tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar, dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di plaza tol Kota Damansara dekat sini, tidak jelas, walaupun menggunakan teknologi perisian komputer yang terkini, Mahkamah Tinggi di sini, semalam, diberitahu.

Juruanalisis Kanan Digital Forensik di Cyber Security Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai NISER), Mohd Zabri Aidil Talib, 28, berkata imej pemandu jip tidak jelas, walaupun selepas membesarkan beberapa keping gambar yang diambil daripada rakaman itu melalui 'teknik memfokus'.


Menjawab soalan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin sama ada terdapat perisian atau teknologi lebih canggih boleh digunakan bagi memperoleh gambar lebih jelas, Mohd Zabri berkata, perisian video forensik iaitu �Videofocus� yang digunakannya sekarang adalah paling terkini berbanding dengan peralatan forensik digital lain.

Terdahulu, peguam Hazman Ahmad yang mewakili tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri, mempertikaikan kemampuan dan kepakaran Mohd Zabri dengan mempersoalkan kapasitinya untuk memberi keterangan di mahkamah sebagai seorang pakar.

Mohd Zabri, yang juga saksi ke-49 pendakwaan mengakui Cyber Security juga tidak pernah menerima akreditasi daripada mana-mana pihak dan beliau turut bersetuju disebabkan perkara itu, tahap ketepatan dan kepakaran agensi itu boleh dipertikaikan.


Katanya, Cyber Security Malaysia adalah sebuah agensi kerajaan di bawah naungan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Beliau juga bukanlah kakitangan kerajaan kerana agensi itu adalah sebuah syarikat swasta yang mendapat pembiayaan kerajaan.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Mohd Zabri berkata sebelum ini keterangannya diterima di mahkamah untuk dua kes lain yang membabitkan rakaman CCTV dan kad kredit.

Katanya, tandatangan pengesahan yang dibuat oleh dua pegawai atasannya di dalam laporan analisis hanyalah prosedur syarikat dan tanpa tandatangan itu, ia tidak bermakna analisis yang dibuatnya boleh dipertikaikan.

Sementara itu, disoal balas peguam Sirul Azhar, Ahmad Zaidi Zainal, Mohd Zabri berkata, tiada sebarang perubahan (tampering) dibuat pada pita rakaman CCTV yang diambil di plaza tol itu.

"Daripada analisis dilakukan terhadap salinan pita rakaman CCTV itu, saya mendapati tiada sebarang perubahan atau suntingan yang dibuat dan imej yang dipamerkan juga adalah konsisten," katanya.

Menjawab soalan Tun Abdul Majid, Mohd Zabri berkata, tiada perubahan dibuat kerana jika suntingan dilakukan, beliau boleh mengenal pasti melalui pergerakan imej yang tidak konsisten dan tidak lancar pada pita berkenaan.

"Selain itu, masa pada rekod transaksi penggunaan kad Touch n' Go milik Sirul Azhar yang direkodkan pada setiap gambar yang diambil daripada rakaman CCTV adalah konsisten," katanya.

Mohd Zabri berkata, walaupun analisis itu hanya dibuat menerusi salinan pita rakaman dan bukannya pita asal, ia adalah tepat kerana tiada perubahan dikesan pada kedua-dua pita berkenaan.

Sementara itu, saksi ke-52, Ketua Jabatan Digital Forensik di Cyberjaya Security Malaysia, Aswami Fadillah Mohd Ariffin, 36, berkata beliau menerima 11 telefon bimbit, dua kad SIM dan dua laptop daripada polis berhubung kes berkenaan.

Beliau hanya mengenal pasti kandungan data yang terdapat dalam kad SIM itu dan bukannya melakukan sebarang analisis.

Aswami berkata, beliau melakukan 'screen shot' pada satu telefon bimbit jenis Nokia 6710 yang 'dipotong' bagi tujuan pemetaan data yang dipadankan dengan log panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada syarikat Telco.

Disoal Tun Abdul Majid, Aswami berkata, pemetaan data bermaksud kandungan SMS yang diambil daripada telefon bimbit akan dibandingkan dengan log daripada Telco, untuk menentukan sama ada tarikh dan masa yang terkandung dalam telefon bimbit selaras dengan log berkenaan.

Katanya, pemetaan data yang dilakukannya itu bagaimanapun tidak 100 peratus tepat.

Aswami akan menyambung keterangannya hari ini.

Perbicaraan bersambung hari ini.

0 comments: