Pakatan strategik usahawan – PM

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu usahawan tempatan menjalin kerjasama dengan usahawan asing menerusi perkongsian pengetahuan dan sumber bagi meluaskan peluang perdagangan serta perniagaan masing-masing.

Menurut Perdana Menteri, pakatan strategik dalam perniagaan merupakan satu keperluan pada masa ini berdasarkan persekitaran sektor itu yang semakin kompetitif.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerjasama antara usahawan tempatan dengan rakan niaga dari luar negara bakal memberi keuntungan berlipat kali ganda dalam sektor ekonomi berbanding bekerja secara sendirian.

‘‘Lebih penting lagi, kerjasama ini membolehkan negara-negara yang terlibat mendapat faedah daripada perluasan perdagangan dunia, sementara pihak kerajaan hanya terus menyediakan peluang kerana sektor swasta akan menggalas tanggungjawab merangsang ekonomi dan perdagangan negara,’’ katanya.

Abdullah berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Intrade Malaysia dan Forum Perdagangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 di sini hari ini.

0 comments: