Peniaga disaran manfaat buku kod etika perniagaan

Oleh Irwan Shafrizan Ismail


ETIKA NIAGA: Shafie memperkatakan sesuatu kepada penerima Anugerah Khidmat Cemerlang, Jessica Ruran Agung (kanan) dan Oon di Seri Kembangan, semalam.

SERI KEMBANGAN: Peniaga disaran memanfaatkan buku 'Kod Etika Perniagaan Malaysia' yang dihasilkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menjamin perniagaan yang dijalankan beretika, sekali gus menarik kepercayaan pelanggan.

Menterinya, Datuk Mohd Shafie Apdal, berkata buku itu sambungan Prinsip Rukuniaga yang dilancarkan pada 2002 lalu, menyediakan garis panduan yang ditetapkan bagi menggalakkan peniaga memberikan perkhidmatan beretika.

"Buku ini juga menggalakkan peniaga menjual barang bermutu dengan harga yang kompetitif, selain menangani masalah lambakan barangan tiruan.


"Amalan beretika mampu menarik pengunjung dari dalam dan luar negara menjadi pelanggan tetap di premis mereka kerana kepercayaan sudah terjalin antara peniaga dan pembeli," katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Kedai Harga Patut 2007/2008 dan Pelancaran Buku Kod Etika Perniagaan Malaysia, di sini, semalam.

Mohd Shafie berkata, buku yang dilancarkan adalah sebahagian langkah kerajaan membantu peniaga dan pengguna mengelakkan mereka daripada terus dibeban dengan pelbagai tekanan termasuk kenaikan harga minyak.

"Buku ini menjadi model kod etika untuk diguna semua peniaga di negara ini selain satu cara mengekang inflasi yang sebelum ini usaha membendungnya banyak melalui penguatkuasaan saja," katanya.


Beliau berkata, kementeriannya berharap semua peniaga sama ada berskala besar atau kecil memiliki buku kod etika itu sebagai dokumen asas dalam folio operasi perniagaan.

"Penyediaan kod etika ini tercetus hasil daripada Pelan Integriti Nasional (PIN) dan dikeluarkan khusus untuk syarikat yang tidak berdaftar di Bursa Saham Malaysia, namun bagi yang tersenarai masih boleh menjadikannya sebagai rujukan," katanya.

Sementara itu, syarikat pengeluar pasu dan produk berasaskan tanah liat, Tenmoku Pottery Trading Sdn Bhd (Tenmoku) dan syarikat perniagaan kraf tangan, Paling Enterprise dipilih sebagai Premis Perniagaan Paling Cemerlang 2007/2008.

Kedua-duanya mengalahkan 600 penerima Anugerah Kedai Harga Patut yang mengkhusus kepada 14 kategori antaranya barang kulit/kasut/beg, barang elektrik & elektronik, barang kraf tangan/antik, kamera, kosmetik dan tekstil.

Eksekutif Operasi Tenmoku, Shavon Oon, berkata anugerah itu bertepatan dengan usaha pihaknya yang sentiasa menghasilkan produk terbaik, termasuk memberi penekanan bidang penyelidikan dan pembangunan.

0 comments: