Harga minyak tidak dijamin

TAPAH 12 Nov. – Kerajaan tidak dapat memberi jaminan harga minyak akan terus kekal pada tahun depan, kerana sebarang keputusan untuk menaikkan harga bahan api itu bergantung kepada harga pasaran minyak mentah dunia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd. Shafie Apdal berkata, tidak dinafikan bahawa kenaikan harga minyak mentah global yang melonjak melebihi paras AS$100 setong kini memberi tekanan kepada harga minyak tempatan dan seterusnya mempengaruhi kenaikan harga barang-barang keperluan lain.

“Saya tidak tahu sama ada harga minyak akan dinaikkan atau sebaliknya pada tahun depan, kerana keputusan berhubung kenaikan itu bergantung kepada hasil kajian mendalam yang dijalankan oleh kerajaan terhadap kesan kenaikan harga pasaran minyak mentah dunia kepada ekonomi negara.

“Kerajaan bagi jaminan harga minyak tidak akan dinaikkan sehingga akhir tahun ini, meskipun harga pasaran minyak mentah dunia kini melonjak melebihi paras AS$100 setong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Jamuan Raya Muhibbah Hari Raya dan Deepavali Parlimen Tapah di Dewan Merdeka di sini hari ini.

Turut hadir Timbalannya yang juga Ahli Parlimen Tapah, Datuk S. Veerasingam.

Mohd. Shafie berkata, tidak dinafikan kenaikan harga minyak sedikit sebanyak mempengaruhi harga barang-barang lain di seluruh dunia tetapi kerajaan sudah bersedia menghadapi situasi mencabar itu dengan merangka beberapa strategi.

Katanya, antara tindakan diambil untuk mengatasi masalah tersebut ialah mengkaji semula sistem pemberian subsidi minyak yang sedia ada untuk memastikan hanya golongan rakyat yang benar-benar memerlukan mendapat manfaat.

“Sekarang ini sebagai contoh, subsidi diesel diberikan kepada syarikat pengangkutan yang membawa barang-barang keperluan harian dan juga nelayan.

“Kerajaan sedang mengkaji untuk mengekalkan pemberian subsidi ini kepada golongan terbabit bagi memastikan mereka tidak menaikkan harga barang agar tidak membebankan pengguna,” katanya.

Selain itu, Mohd. Shafie berkata, kerajaan juga bercadang mengekalkan harga subsidi kepada penduduk miskin di luar bandar yang menggunakan alat penjana kuasa untuk mendapatkan bekalan elektrik.

0 comments: