Jawab SPM dalam penjara, hospital

Oleh Johari Ibrahim, Faiza Zainuddin dan Betty Subaryati


TENANG JAWAB SOALAN: Banduan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia kertas Bahasa Malaysia I, diperhatikan oleh Timbalan Ketua Pengawas Peperiksaan PPD Kota Bharu, Rohana Hassan (kiri) dan diawasi pegawai penjara, Hermelia Buari di Bilik Khas di Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam.

KUALA LUMPUR: Seramai 439,255 calon menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 3,913 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula semalam hingga 6 Disember ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran, daripada jumlah itu, 386,265 (87.9 peratus) adalah calon sekolah kementerian, 14,672 (3.3 peratus) calon sekolah kerajaan negeri dan tajaan badan-badan tertentu, 10,687 (2.4 peratus) calon sekolah swasta dan 27,631 (6.3 peratus) calon persendirian.

Semalam, calon menduduki peperiksaan subjek Bahasa Melayu Kertas 1, Bahasa Melayu Kertas 2 dan Sejarah 1.


Di KUALA TERENGGANU, 23,000 calon menduduki SPM di 100 pusat peperiksaan di negeri itu dengan 11 calon mengambil peperiksaan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana pelbagai penyakit.

Di KOTA BHARU, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, Ismail Mohd Noor, berkata 36,205 calon SPM mengambil peperiksaan di 265 pusat peperiksaan negeri itu.

"JPN turut menyediakan pusat peperiksaan banjir di seluruh negeri membabitkan lebih 400 sekolah rendah sebagai lokasi alternatif jika pusat sedia ada terjejas akibat banjir," katanya.


Sementara itu, berada di sebalik jeriji besi Penjara Pengkalan Chepa di sini, bukan penghalang kepada seorang pelajar Tingkatan Lima untuk menduduki SPM.

Gadis berusia 17 tahun itu adalah adalah antara tujuh pelajar di negeri itu yang menduduki SPM di luar sekolah masing-masing. Enam lagi menduduki SPM di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Pelajar dikenali sebagai Salwa, 17, ditahan reman sejak 23 Julai lalu kerana menunggu perbicaraan di Mahkamah Majistret Kuala Krai atas tuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya.

Di GEORGETOWN, seorang pelajar terpaksa menduduki peperiksaan SPM di wad Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat kecederaan parah pada jari hantu kanannya.

Sebahagian jari hantu Mohd Syahril Shamsudin, 17, hancur akibat tersepit ketika membetulkan rantai motosikal yang kendur dan terpaksa dipotong.

Seorang lagi calon, Nurul Shafinaz Rahim, 18, dimasukkan ke wad sejak Jumaat lalu kerana menghidap demam denggi.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Ahmad Hussin, berkata 22,205 calon menduduki SPM di Pulau Pinang, dengan 64 calon adalah orang kurang upaya termasuk empat menghadapi masalah penglihatan dan 46 calon cacat pendengaran.

Di ALOR STAR, usia tidak menghalang calon buta, Mahamad Hafizul Sham Mahamad Hanafiah, 24, untuk menduduki peperiksaan itu.

Mahamad Hafizul, 24 dan Muhammad Hafiz Harun, 18, adalah dua calon buta yang menduduki peperiksaan itu di Kedah.

0 comments: