Jangan jadikan kanak-kanak ‘perisai’ perhimpunan

Oleh ZULKIFLI MANZOR

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberi amaran akan mengambil tegas terhadap pihak yang cuba memperalat dan mengeksploitasi kanak- kanak sebagai perisai dalam mana-mana perhimpunan haram.

Menurut beliau, perbuatan tersebut amat tidak wajar dilakukan dan menyifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan.

Tegasnya, mereka yang menggunakan kanak-kanak sebagai perisai dalam perhimpunan haram boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

Di bawah akta tersebut, orang yang melakukan perbuatan aniaya, abai, cuai, buang atau mendedahkan kanak-kanak kepada kemungkinan kecederaan fizikal, mental dan emosi boleh didakwa.

Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Mengeksploitasi kanak-kanak dalam perhimpunan haram adalah di luar batasan dan kita tidak boleh biarkan perkara ini terus berlaku,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Serah/Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Musa berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan haram yang dianjurkan 26 badan bukan kerajaan (NGO) yang disertai parti-parti pembangkang untuk menyerahkan memorandum berhubung beberapa tuntutan mengenai proses pilihan raya di negara ini kepada wakil Istana Negara kelmarin.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, perhimpunan haram yang diadakan di ibu negara itu bertujuan memerangkap institusi raja-raja ke kancah politik pembangkang.

Perdana Menteri bagaimanapun melahirkan keyakinan bahawa raja-raja dan Yang Di-Pertuan Agong tidak akan mudah terpengaruh dengan tindak-tanduk golongan berkenaan yang cuba mengambil kesempatan meraih sokongan politik.

Musa menambah, polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung perhimpunan Sabtu lalu dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur perhimpunan tersebut.

Tegasnya, tiada pihak di negara ini yang boleh membelakangkan undang-undang dan polis tidak mahu perbuatan negatif yang berlaku di negara lain seperti rusuhan melanda Malaysia.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, polis sedang mengawasi maklumat yang menyatakan sebuah lagi perhimpunan sama akan diadakan dalam beberapa minggu lagi.

Jelas Musa, perhimpunan sebegitu tidak perlu diadakan kerana terdapat alternatif lain dalam usaha menyampaikan pendirian seperti mengadakan sesi dialog.

0 comments: