KUALA LUMPUR: Satelit mikro kedua negara, RazakSAT yang sepatutnya dilancarkan akhir tahun ini ditunda ke satu tempoh antara tiga bulan pertama tahun depan berikutan masih tiada slot yang sesuai ditetapkan bagi pelancarannya.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Kong Cho Ha, berkata Space Exploration Technology (SpaceX) Amerika Syarikat, syarikat yang ditauliahkan untuk melepaskan satelit itu ke angkasa lepas masih menghadapi masalah menentukan slot yang sesuai bagi pelancaran.
Katanya, RazakSAT bernilai RM127 juta sudah siap sepenuhnya untuk dilancarkan namun kerajaan masih menanti makluman SpaceX tarikh sebenar pelancaran.
"Mungkin ada beberapa masalah teknikal yang menyukarkan pihak Amerika menentukan slot untuk RazakSAT. Jadi penangguhan ini tidak dapat dielakkan.
"Bagaimanapun kami berharap RazakSAT dapat dilancarkan pada suku pertama tahun depan, mungkin itu masa yang lebih ideal," katanya selepas merasmikan persidangan ke-28 Asian Conference on Remote Sensing" (ACRS 2007) di sini semalam.
Sebelum ini, RazakSAT dijangka dilancarkan ke orbit akhir tahun ini menggunakan pelancar Falcon-1 milik SpaceX. Pelancaran dijangka dilakukan di Pulau Kwajeilin, Kepulauan Micronesia berhampiran Lautan Pasifik.
Jika berjaya dilancarkan, satelit pencerapan bumi kedua negara itu mampu memberi resolusi lebih kecil iaitu pada jarak 2.5 hingga lima meter. Satelit mikro pertama, TiungSAT-1, dilancarkan pada 26 September 2000.
Mengulas persidangan ACRS, Kong berkata sambutan sangat menggalakkan dengan lebih 800 peserta daripada 44 negara menghadiri persidangan ketiga di Malaysia.
"Aplikasi remote sensing semakin dapat diterima ramai terutama negara membangun dan ternyata ini satu tanda positif dalam usaha kita memantau sebarang bencana terutama di rantau Asean," katanya.
0 comments:
Post a Comment