PM dianugerah Tokoh Dunia Melayu

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengetuai penerima anugerah tokoh Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) pada Konvensyen Kelapan DMDI, di Bandar Hilir, di sini, pada 15 November ini.

Presiden DMDI, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata Perdana Menteri adalah satu-satunya penerima Anugerah Mansyur Shah DMDI (AMSD) yang hanya diberikan kepada pemimpin tertinggi Melayu Islam Nusantara.

"Seramai 12 penerima bagi Anugerah Tun Perak DMDI (ATPD) antaranya ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

"Anugerah ini turut diberikan kepada pemimpin asing iaitu tujuh gabenor dan bekas gabenor di kepulauan Indonesia serta Menteri Negara Kanan Ehwal Luar Singapura, Datuk Bandar Zainul Abidin Rasheed.

"Anugerah berkenaan adalah sebagai pengiktirafan DMDI atas kesungguhan, jasa dan pengorbanan mereka dalam kemajuan sejagat," katanya pada sidang media di Taman Seri Bunga di sini, semalam.

DMDI juga turut menghargai jasa 15 pemimpin belia, institusi pengajian tinggi (IPT), presiden persatuan dan yayasan dengan menganugerahkan mereka Anugerah Hang Tuah DMDI (AHTD).

Malah, dua wanita iaitu Bekas Pengerusi Biro Wanita DMDI, Datuk Hazizah Sultan dan Naib Pengerusi biro berkenaan, Ibu Sastri Yunizarti Bakry diberikan Anugerah Tun Fatimah (ATFD).

Semua anugerah akan disampaikan Perdana Menteri pada majlis perasmian konvensyen berkenaan.

Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, sepanjang 10 hari konvensyen berkenaan, 17 perjanjian usaha sama membabitkan anak syarikat kerajaan negeri, institusi pengajian tinggi (IPT), syarikat tempatan serta luar negara ditandatangani.

0 comments: