Belanja projek rakyat diterus

Oleh FAUZI JAAFAR dan ABDUL HALIM HADI

MIRI 12 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan akan terus berbelanja bagi melaksanakan projek-projek rakyat bagi memastikan negara terus membangun.

Beliau berkata, perbelanjaan yang disalurkan adalah untuk kemudahan rakyat yang terus menghargai dan percaya terhadap kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, perbelanjaan yang diperuntukkan untuk projek-projek infrastruktur adalah penting kerana ia boleh membangunkan sektor-sektor lain seperti pertanian dan perindustrian.

Menurutnya, projek infrastruktur yang dilaksanakan untuk rakyat juga boleh merapatkan jurang kemajuan antara bandar dengan luar bandar terutama di Sarawak.

‘‘Kalau ada duit, kita akan terus berbelanja untuk melaksanakan projek. Projek ini pula adalah untuk rakyat dan untuk negara. Kita mahu negara terus membangun dan menjadi maju setapak demi setapak,” kata Abdullah ketika merasmikan Jejambat Pujut-Miri di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan BN adalah sebuah kerajaan yang faham dan tidak lupa pada sokongan rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

‘‘Rakyat mahu kerajaan yang dipilih itu berkhidmat untuk mereka. Maka dengan itu kita mesti bekerja bersungguh-sungguh,” kata beliau.

Mengenai Sarawak, Abdullah berkata, negeri itu sejak merdeka telah menyaksikan pembangunan pesat dengan banyak kemudahan telah disediakan untuk rakyat.

Katanya, semua ini membuktikan kerajaan BN menjalankan tugas.

Abdullah bagaimanapun berkata, masih banyak lagi tugas yang perlu dilaksanakan memandangkan Sarawak adalah sebuah negeri yang besar dan menyamai keluasan Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan berharap akan melancarkan projek Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (Score) sebelum hujung tahun ini.

Sebelum ini, Abdullah dijadualkan merasmikan Score pada 13 November, bagaimanapun ia ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

0 comments: