Peladang diarah tubuh koperasi

Oleh Amirullah Andi Nur

KUALA LUMPUR: Semua Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara wajar menubuhkan koperasi bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi petani, terutama di luar bandar yang masih ketinggalan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini yang mahu petani meneroka pelbagai peluang ekonomi.

Katanya, penubuhan koperasi sangat penting kerana dijangka berupaya menjana modal pusingan yang besar berikutan pertubuhan itu di seluruh negara kini mempunyai 717,000 ahli mewakili 272 cawangan PPK.

"Kita mengharapkan koperasi dicadangkan ini akan menjadi penggerak kepada pelbagai aktiviti perniagaan dan ekonomi petani di seluruh negara," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan pelancaran Nafas Holdings Bhd, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang; Pengerusi Nafas, Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahman dan Ketua Pengarah LPP, Datuk Abd Rahim Ahmad.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, penubuhan koperasi itu yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini, bukan perkara baru kerana ia sudah diwujudkan beberapa PPK sebelumnya.

Katanya, penubuhan koperasi itu juga bukan bertujuan menggugat operasi atau menjadi pesaing kepada PPK, sebaliknya mengukuhkan lagi kedudukan pertubuhan berkenaan.

"Koperasi yang dicadangkan ini akan diletak di bawah PPK dan diurus sebagai sebuah badan perniagaan secara profesional. Teras perniagaannya menjurus kepada bidang baru atau kurang diceburi PPK seperti pemasaran hasil tani.

"Bagi menjayakan cadangan ini, sokongan semua pihak perlu ada. Justeru itu, kita minta PPK mengadakan sesi penerangan kepada semua ahlinya bagi memastikan objektif penubuhan koperasi ini difahami sepenuhnya,� katanya.

Muhyiddin juga memberi jaminan akan membantu usaha penubuhan koperasi yang dicadangkan itu, termasuk mendapat bantuan daripada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

"Saya sendiri sudah memaklumkan perkara ini kepada Khaled dan beliau setuju. Kita harap selepas ini, koperasi PPK di Malaysia akan setanding dan berjaya seperti di Jepun, Korea, Belanda dan Kanada," katanya.

Sementara itu, Abdul Rashid yakin Nafas mampu mencatatkan perolehan berjumlah kira-kira RM1 bilion tahun ini, berdasarkan pelbagai aktiviti ekonomi yang dilakukan, berbanding lebih setengah bilion ringgit tahun lalu.

Katanya, setakat September lalu, Nafas mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM923.54 juta dengan untung bersih sebelum cukai RM21.85 juta.

"Antara aktiviti ekonomi yang bakal menjana perolehan kumpulan ialah hasil sawit yang dibangunkan di kawasan seluas 13,925 hektar di Aceh, Indonesia selain kilang baja pertanian di Gurun, Kedah.

"Nafas juga kini menguasai kira-kira 30 peratus daripada pasaran jentera pertanian seluruh negara, selain pembabitan aktif dalam ternakan kambing, lembu dan ayam," katanya.

Tahun lalu, Nafas mencatatkan keuntungan bersih RM33.45 juta melalui perolehan sebelum cukai RM585.56 juta, berbanding RM19.42 juta (keuntungan bersih) dan RM517.05 juta (perolehan sebelum cukai) pada 2005.

0 comments: