Giliran kita berhujah

THE HAGUE, Belanda 12 Nov. – Malaysia akan memulakan pusingan pertama hujah lisan kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini, esok, selepas empat hari mendengar hujah Singapura minggu lepas.

Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad yang mengetuai delegasi Malaysia akan membentangkan hujah utama bagi mempertahankan hak kedaulatan negara ke atas Pulau Batu Putih dan dua lagi pulau iaitu Middle Rocks serta South Ledge.

Hujah kira-kira 25 minit itu dijangka memfokuskan kepada gambaran menyeluruh tentang kes tuntutan Pulau Batu Putih serta menegaskan pendirian Malaysia bahawa ketiga-tiga pulau itu adalah milik negara dan tidak pernah diserahkan kepada British mahupun Singapura.

Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin yang juga ejen bersama kes ini akan bertindak sebagai pembentang kedua diikuti oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Barisan peguam yang juga akan mempertahankan pendirian Malaysia terdiri daripada Profesor Elihu Lauterpacht, Profesor James Crawford, Profesor Nicolas Jan Schrijver, Profesor Marcelo G. Kohen dan Penelope Nevil.

Delegasi negara juga diberi empat hari untuk menyempurnakan hujah lisan sebelum kedua-dua negara memasuki pusingan kedua hujah lisan minggu depan.

Persidangan akan berlangsung di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh.

Malaysia dalam memorialnya mengemukakan lapan hujah utama bagi membuktikan bahawa Pulau Batu Putih adalah hak negara.

Pertama, Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge serta pulau-pulau di dalam dan sekitar perairan Selat Singapura adalah sebahagian daripada Kesultanan Johor sebelum 1824.

Ia tidak terjejas oleh Perjanjian Inggeris Belanda 1824 yang hanya memberi kesan kepada pulau-pulau dan wilayah di selatan selat tersebut.

Kedua, kedaulatan Kesultanan Johor ke atas pulau-pulau itu diiktiraf berulang kali oleh British.

Ketiga, perkara itu diakui dalam Perjanjian Crawfurd yang menyebut bahawa Singapura serta pulau-pulau kecil dalam jarak 10 batu dari republik itu diserahkan kepada British, manakala yang lain-lain terus menjadi sebahagian daripada wilayah Johor.

Seterusnya Malaysia berhujah bahawa Pulau Batu Putih bukan terra nullius (tidak berpenghuni) tetapi ia menjadi tempat nelayan tempatan (di bawah naungan kesultanan Johor) menjalankan kegiatan menangkap ikan.

Kedaulatan Johor ke atas pulau itu telah berlangsung sebelum dan selepas tahun 1824, contohnya dalam konteks mengawal kegiatan lanun di perairan pulau tersebut.

Empat lagi hujah Malaysia berkisar kepada permohonan Syarikat Hindia Timur Inggeris untuk mendapatkan kebenaran daripada Sultan dan Temenggung Johor bagi mendirikan Rumah Api Horsburgh di wilayah mereka.

Kebenaran itu dipanjangkan ke Pulau Batu Putih iaitu tempat yang sesuai untuk didirikan rumah api.

British yang mendapat kebenaran berbuat demikian tidak pernah bertindak mempunyai kedaulatan ke atas pulau tersebut jauh sekali di Middle Rocks dan South Ledge. Malah Malaysia berhujah pemilikan, penyelenggaraan dan operasi rumah api bukan isyarat bahawa British mempunyai kedaulatan ke atas pulau itu.

Ini kerana kesemua kegiatan itu hanya dijalankan selepas mendapat kebenaran daripada pemilik Pulau Batu Putih iaitu kesultanan Johor.

Selain itu Malaysia berhujah bahawa British dan Singapura tidak pernah menuntut hak kedaulatan ke atas ketiga-tiga pulau batu itu pada bila-bila masa sebelum tarikh kritikal (1980 bagi kes Pulau Batu Putih dan 1993 bagi Middle Rocks, South Ledge).

Singapura, hujah Malaysia, dari sudut perundangan, perjanjian, penerbitan dan peta selain kenyataan pegawai tinggi republik itu kesemuanya mengesahkan bahawa ketiga-tiga pulau itu bukan milik Singapura dan tidak ditadbir sebagai sebahagian daripada wilayah itu.

Sebaliknya, hujah terakhir yang terkandung dalam memorial itu menyebut bahawa Johor dan Malaysia tidak pernah menyerahkan kedaulatan ketiga-tiga pulau batu itu kepada mana-mana kuasa.

Pada 2003, Malaysia dan Singapura bersetuju mengemukakan kepada ICJ pertikaian berhubung kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge.

– Utusan

0 comments: