'Harga minyak, diesel tak naik'

TAPAH: "Jangan dengar khabar angin akan berlaku kenaikan harga minyak dan diesel tahun depan," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal.

Beliau mengakui ada pihak menyebarkan khabar angin berlaku kenaikan harga minyak dan diesel, tetapi kerajaan sudah memberi jaminan untuk tidak berbuat demikian sehingga akhir tahun ini, selain sedang mengkaji satu sistem yang lebih adil dalam pengagihan subsidinya.

"Kerajaan tidak bercadang menaikkan harga minyak dalam tempoh terdekat kerana masih dalam proses mengkaji sistem subsidi secara mendalam dan lebih berkesan untuk menghadapi aliran kenaikan harga minyak dunia.

"Saya minta orang ramai tidak mendengar atau percayakan khabar angin tidak betul ini. Kerajaan sudah memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan sehingga akhir tahun... ini juga tidak bermakna ia akan naik Januari ini.

"Kita ada sistem mengkaji kewajaran menaikkan harga minyak, walaupun harga minyak dunia terus naik. Kita perlu mengkaji dan melihat jika ada alternatif lain untuk mengurangkan beban pengguna," katanya selepas menghadiri majlis Jamuan Raya Muhibah Aidilfitri dan Deepavali di sini, semalam.

Beliau mengulas khabar angin yang mendakwa akan berlaku kenaikan harga minyak 30 hingga 50 sen awal tahun depan.

Kerajaan menanggung subsidi kira-kira RM35 bilion bagi minyak dan gas tahun ini, manakala RM5 bilion untuk subsidi lain.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, pengguna supaya bertindak bijak dan memperkasa diri untuk membeli barang keperluan yang penting dan patut saja serta tidak membazir untuk mengurangkan beban perbelanjaan harian yang semakin meningkat.

"Kerajaan memerlukan masa untuk melakukan penstrukturan semula sistem subsidi melalui konsep pengagihan lebih adil," katanya.

0 comments: