439,255 calon ambil SPM

Oleh Yang Chin Mee

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Seramai 439,255 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mula menduduki peperiksaan itu hari ini yang berakhir 6 Disember depan.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran, daripada jumlah itu, 87.9 peratus atau 386,265 mereka adalah calon sekolah di bawah kementerian, 14,672 (3.3 peratus) calon sekolah kerajaan negeri dan tajaan badan-badan tertentu, 10,687 (2.4 peratus) calon sekolah swasta dan 27,631 (6.3 peratus) calon persendirian.

Peperiksaan itu berlangsung di 3,913 pusat peperiksaan seluruh negara.

Mata pelajaran yang diduduki oleh calon pada hari ini ialah Bahasa Melayu Kertas 1, Bahasa Melayu Kertas 2, dan Sejarah 1 manakala mata pelajaran terakhir ialah Teknologi Komunikasi dan Maklumat.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Yacoob Latif, di sini, mendapati kebanyakan para pelajar mengakui telah membuat persediaan awal untuk menduduki SPM tahun ini.

Bagaimanapun ada di antara mereka yang merasa bimbang apabila terpaksa menduduki peperiksaan untuk mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Seorang pelajar, Mohd. Fazaroy Abdullah, 17, berkata, beliau gementar untuk menduduki peperiksaan penting itu walaupun telah mengulang kaji pelajaran sejak awal lagi.

Menurutnya, jika didedahkan kepada pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sejak sekolah rendah lagi, ia mungkin lebih mudah untuk menguasainya.

“Malangnya kami mula belajar mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris semasa tingkatan satu,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar, Nor Azila Azmi, 17, berkata, dia menghadapi kesukaran mempelajari mata pelajaran Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.

“Walaupun telah membuat persediaan sejak awal lagi, saya masih berasa takut untuk menghadapi peperiksaan.

“Begitu pun saya berharap akan memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan kali ini,” katanya.

Bagi Muhammad Nazrul Azami, 17, pula, dia tidak menghadapi masalah untuk belajar dan menduduki peperiksaan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

“Saya mengucapkan selamat berjaya kepada rakan-rakan lain yang sama-sama menghadapi SPM dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Pendapat Muhammad Nazrul disokong oleh Rubern Kumar, 17, yang berkata, dia tidak menghadapi masalah untuk belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Menurutnya, dia telah mula membuat persediaan untuk SPM sejak setahun lalu dan tidak menunggu di saat-saat akhir untuk mengulang kaji.

Sementara itu, Cheng Kok Jing, 17, berkata, dia tidak menganggap Sains dan Matematik sebagai mata pelajaran yang sukar untuk dipelajari.

“Saya telah membuat persediaan sejak tiga bulan lalu, walau bagaimanapun, saya tetap rasa gementar untuk mendudukinya,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Stephanie Chan, 17, memberitahu, dia mula membuat persediaan untuk menduduki SPM sejak sebulan lalu.

0 comments: