13 telefon bimbit, kad SIM, komputer diambil data

SHAH ALAM 12 Nov. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu pihak polis telah menyerahkan 13 unit telefon bimbit, dua kad SIM (Modul Pengenalan Pelanggan) dan dua komputer riba kepada Jabatan Digital Forensik Cyber Security Malaysia untuk diekstrak datanya dan bukan bagi tujuan analisis.

Ketua jabatan itu, Aswami Fadillah Mohd. Ariffin berkata, telefon bimbit pertama jenis Nokia model 6280 bernombor siri 357926008217932 diterimanya pada 9 November tahun lalu daripada Deputi Supritendan Abdul Aziz Ahmad.

Menurut beliau, selepas pengekstrakan data dilakukan oleh juruanalisis, Razana Md. Salleh, telefon itu telah dipulangkan semula kepada Abdul Aziz pada pukul 2.45 petang, hari yang sama.

Aswami, 36, menambah pada 22 November 2006, seorang lagi pegawai polis, Supritendan Shukri Abdullah telah meminta bantuannya bagi mendapatkan data daripada 11 telefon bimbit termasuk yang diserahkan pada 9 November 2006, dua kad SIM dan dua komputer riba.

Menurutnya, bahan-bahan bukti itu diterima oleh beliau tetapi borang permintaan diisi oleh Razana dan mereka kemudiannya telah membuat pemeriksaan ke atas kesemua barang tersebut.

Saksi pendakwa ke-52 itu yang memberi keterangan dalam perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu kemudian diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah semasa disoal dalam pemeriksaan utama supaya melihat item pertama iaitu telefon bimbit jenis Nokia 6680 yang mempunyai nombor siri 358358000995498.

Walaupun telefon bimbit di hadapannya tidak mengandungi kad SIM, Aswami melalui catatan rekodnya membacakan nombor kad SIM telefon bimbit tersebut iaitu 502193200040797.

Bagaimanapun apabila diserahkan kad SIM (P66) yang sepatutnya terkandung dalam telefon bimbit itu, nombor siri kad tersebut yang tertera adalah berbeza iaitu 896019050877072879 256-H1WM.

Nombor siri ini, katanya, adalah nombor IMSI yang dibacanya menggunakan alat (tool) sim-con versi 1.1.

Tun Abdul Majid: “Bagaimana untuk tahu jika kad ini adalah sama dengan nombor yang kamu sebut 502193200040797?”

Aswami: “Apa yang kami selalu buat adalah membaca nombor IMSI yang unik kepada kad itu. Kaedahnya menggunakan tool (alat) yang bernama sim-con yang di ‘install’ (diprogram) pada komputer dan dibaca menggunakan slot kad SIM bersama alat yang dinyatakan tadi.”

Jelas beliau lagi, kad SIM (P66) tidak boleh dibaca pada masa ini kerana ia perlu menggunakan komputer.

Berikutan itu, Tun Abdul Majid telah memohon supaya saksi tersebut membawa komputernya ke mahkamah esok bagi pengesahan nombor siri kad SIM itu dan 12 kad SIM yang lain.

Dalam keterangannya, Aswami turut menyatakan kesemua barang-barang bukti itu telah diserahkan oleh Razana kepada Shukri pada 30 November tahun lalu.

Namun begitu, pada 4 Disember tahun yang sama, kesemua 15 barang itu dan dua lagi telefon bimbit jenis Nokia 6600 dan Nokia 3230 telah diserahkan semula kepadanya.

Kali ini, jelas beliau, 15 item yang terdahulu tidak lagi dibuat pengekstrakan data kerana ia mempunyai nombor rujukan yang sama tetapi pengekstrakan dibuat pada dua telefon bimbit baru tersebut.

“Kesemua barang-barang tersebut kemudiannya diserahkan semula kepada pegawai penyiasat Asisten Supritendan Tonny Lunggan pada 11 Mei lalu,” ujar beliau.

Tun Abdul Majid kemudian bertanya mengenai tanda pemotongan pada catatan telefon bimbit jenis Nokia 7610 bagi tujuan penyiasatan lanjut seperti yang terdapat pada borang penyerahan semula barang-barang kepada Tonny.

Aswami menjelaskan catatan itu ditandakan kerana terdapat perbezaan pada tarikh di dalam telefon bimbit itu dan tarikh apabila data diekstrak.

Ini bermakna, katanya, telefon bimbit itu tidak dipulangkan pada tarikh tersebut kerana apabila terdapat perbezaan, beliau bersama Razana telah menggunakan kaedah screen shot (setiap kandungan data diambil menggunakan kamera digital).

Jelas beliau, kaedah screen shot ini juga bukan satu analisis tetapi hanya perbuatan mekanikal.

Barang-barang bukti tersebut, katanya, bagaimanapun telah diserahkan semula kepadanya pada 18 Mei tahun ini sebelum kaedah ‘screen shot’ dibuat pada 21 Mei lalu bagi tujuan pemetaan (co-relation) data yang telah diekstrak dengan log daripada syarikat penyedia perkhidmatan komunikasi.

Katanya, ia bertujuan mengenal pasti sama ada tarikh dan masa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang terkandung dalam telefon bimbit tersebut selaras dengan log syarikat komunikasi terbabit.

0 comments: