Ambil pekerja asing perlu kelulusan JTK

SEMUA majikan yang hendak menggaji pekerja asing perlu mendapat kelulusan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang mengesahkan bahawa tiada pekerja tempatan berminat memohon sesuatu jawatan diiklankan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn, berkata majikan akan dibenarkan membuat permohonan mengambil pekerja asing menerusi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) selepas mendapat kelulusan JTK.

Ketika ini, katanya, semua majikan diwajib melaporkan kekosongan jawatan menerusi Bursa Buruh Elektronik (ELX) untuk memberi peluang kepada pekerja tempatan memohon jawatan berkenaan.

"Majikan perlu mendapatkan kelulusan JTK sebelum mengambil pekerja asing dan selepas disahkan pekerja tempatan tidak berminat dengan kekosongan jawatan terbabit,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Ghazali Ibrahim (BN-Padang Terap) yang ingin tahu jumlah pencari kerja yang berdaftar mengikut kategori pekerjaan dan negeri pada persidangan, di sini, semalam.

Katanya, sehingga 5 November lalu, seramai 88,900 pendaftar akhir mendaftar melalui ELX untuk mencari pekerjaan dan daripada jumlah itu, seramai 31,794 pendaftar memohon untuk bidang perkeranian dan 19,082 untuk profesional.

Kebanjiran pekerja asing dalam pelbagai sektor, termasuk perkhidmatan dan perindustrian menimbulkan rungutan penduduk tempatan kerana dianggap menjejaskan peluang rakyat negara ini sehingga meningkatkan kadar pengangguran dan kos sara hidup.

0 comments: