19 pelajar sesak nafas terhidu asap ubat nyamuk

Oleh Johari Ibrahim


TERIMA RAWATAN: Penghuni asrama Sekolah Darul Ulum keluar dari Unit Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah selepas mendapat rawatan, semalam.

ALOR STAR: Sembilan belas pelajar perempuan sekolah agama persendirian di Jalan Langgar di sini, dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) petang kelmarin selepas muntah-muntah, pening dan sesak nafas selepas terhidu asap semburan kabus oleh Jabatan Kesihatan.

Pelajar perempuan Sekolah Darul Ulum Ihya Ulumuddin terbabit yang berusia 13 hingga 19 tahun muntah dan pengsan selain ada yang pening selepas kakitangan Jabatan Kesihatan selesai melakukan semburan asap ubat nyamuk di asrama mereka.

Asrama berkenaan menempatkan kira-kira 40 pelajar perempuan.


Difahamkan, semua pelajar diarah keluar asrama sebelum semburan untuk mencegah nyamuk aedes dilakukan.

Bagaimanapun, sejurus selepas semburan dilakukan, pelajar terbabit mengadu pening dan muntah serta bertambah buruk apabila sesetengahnya pengsan.

Semua mereka kemudian dibawa ke HSB dengan tiga ambulans dan dibenarkan keluar lewat malam kelmarin.


Pelajar, Siti Hajar Balkis Zulkifli, berkata ketika kejadian mereka berkumpul di luar asrama, tetapi angin kuat menyebabkan asap semburan menuju ke arah mereka.

"Sesetengah daripada kami sesak nafas dan pening selain beberapa rakan pengsan," katanya.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Hasnah Ismail, yang mengesahkan kejadian itu berkata pelajar berkenaan diberikan rawatan sebagai pesakit luar dan keadaan mereka stabil.

Beliau berkata, siasatan jabatan mendapati semburan kabus yang dilakukan oleh petugas Unit Kawalan Vektor mengikut peraturan daripada segi campuran dan mengarahkan pelajar keluar premis sebelum semburan dilakukan.

"Bagaimanapun, perubahan arah angin menyebabkan asap menuju ke arah pelajar berkumpul," katanya.

0 comments: