Isi buku teks masih relevan

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad

KOTA BHARU: Isi kandungan semua buku teks yang digunakan sekolah ketika ini, masih relevan dengan perkembangan semasa.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang, berkata kementerian sentiasa mengadakan perbincangan dengan pakar tertentu bagi meningkatkan kualiti penghasilan buku teks.

Katanya, dalam menghasilkan buku teks untuk kegunaan sekolah, kementerian juga mempunyai panel berkelayakan yang mampu memberi pandangan positif mengenai kandungannya.

"Kementerian sentiasa membuat kajian berterusan mengenai tahap kualiti kandungan buku teks dengan membabitkan bantuan beberapa tokoh tempatan atau panel khas.

"Kita akan sentiasa mengambil perhatian terhadap pandangan pihak yang mengatakan kandungan buku teks bagi beberapa mata pelajaran dikatakan tidak relevan," katanya.

Beliau mengulas laporan Berita Harian semalam yang mengatakan kandungan buku teks untuk beberapa mata pelajaran yang digunakan di sekolah sekarang tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa.

Dr Zulkurnain berkata, kebanyakan kandungan buku teks yang dibekalkan kementerian adalah relevan dan adalah tidak benar untuk mengatakan semua kandungan dalam buku itu tidak relevan.

Katanya, mungkin ia perlu diperkemas dan dipertingkatkan lagi mengikut keperluan dan perkembangan semasa.

"Kajian berterusan akan dilakukan supaya buku teks yang kita keluarkan sentiasa relevan dan terkini. Sebarang fakta yang kita berasa perlu diperkemaskan, akan diperkemaskan mengikut perkembangan semasa," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun perkara mengenai relevan itu akan dibincang dengan pakar yang dilantik dan kementerian akan mengambil perhatian mengenai perkara berkaitan dengan kandungan.

Dalam perkembangan lain, Dr Zulkurnain menjelaskan bahawa semua pelajar yang memasuki persekolahan tahun depan, kini bebas daripada dikenakan sebarang yuran.

Katanya, laporan akhbar mengatakan tiga kategori yuran sekolah ditetapkan kementerian kelmarin mengelirukan.

"Kita kena perbetulkan perkara ini. Yuran sekolah sudah dihapuskan dan pelajar kini bebas daripada dikenakan sebarang yuran.

"Apa yang dilaporkan dalam akhbar ialah bermaksud sumbangan untuk membolehkan sekolah berkenaan melaksanakan pelbagai aktiviti tambahan nanti. Ini bukan yuran," katanya.

Beliau berkata, sumbangan itu bagi membolehkan sekolah terbabit mengadakan aktiviti secara teratur dan ia boleh dipersetujui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Sekiranya tidak ada sumbangan seperti itu, sekolah mungkin tidak dapat melaksanakan pelbagai aktiviti tambahan pada masa depan," katanya.

Akhbar kelmarin melaporkan tiga kategori yuran sekolah ditetapkan iaitu kategori A membabitkan golongan berpendapatan tinggi dengan yuran dikenakan sebanyak RM38.50 dan RM55.50.

Manakala kategori B (RM30.50 dan RM44.50 dam kategori C (RM23.50 dan RM33.50). Namun begitu, bayaran boleh dikurangkan mengikut kemampuan ibu bapa selepas perbincangan dengan PIBG.

0 comments: