Projek kapal NGPV diteruskan

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

LUMUT: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk meneruskan projek pembinaan kapal peronda generasi baru (NGPV) bagi menggantikan kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang semakin usang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, projek itu diteruskan kerana memenuhi keperluan jangka panjang TLDM untuk meningkatkan keupayaan dan ketangkasan armadanya.

Bagaimanapun, katanya, bilangan kapal yang bakal dibina serta kos terbabit akan diputuskan oleh Kabinet.

Syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BN Shipyard) dipertanggungjawabkan untuk membina enam NGPV dengan dua daripadanya iaitu KD Kedah dan KD Pahang sudah diserahkan kepada TLDM tahun lalu, manakala KD Perak dilancarkan di sini, semalam.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata, NGPV keempat dijangka dapat disiapkan menjelang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2007), Disember ini.

Katanya, mengikut jadual ditetapkan semua enam NGPV yang membabitkan kos RM6 bilion akan disiapkan menjelang akhir 2009.

"Kerajaan pada dasarnya bersetuju program ini (pembinaan NGPV) dilanjutkan, iaitu tambahan daripada enam kapal itu, kerana didapati memenuhi keperluan TLDM dan kapal yang ada sekarang semakin uzur.

"Jadi kita terpaksa terus program penggantian. Jumlahnya akan diputuskan oleh kerajaan tetapi pada dasarnya program ini tidak akan tamat selepas enam kapal ini.

"Perancangan asal ialah 27 kapal, tetapi akan dibuat secara berperingkat. Kita buat enam dulu kemudian tambah mengikut kemampuan kewangan," katanya pada sidang media selepas Upacara Penamaan dan Pelancaran NGPV Ketiga KD Perak di Limbungan BN Shipyard Pangkalan TLDM Lumut.

Majlis itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun. Turut berangkat, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar, Tuanku Zara Salim.

Najib berkata, kos bagi meneruskan projek itu dijangka tidak tinggi ekoran kos awal bagi pembinaan kapal berkenaan sudah diserapkan ketika pembinaan enam NGPV terbabit.

Sementara itu, Najib berkata, tender bagi pembelian helikopter baru bagi menggantikan helikopter Nuri akan dikeluarkan pada bila-bila masa dari sekarang.

Terdahulu, dalam ucapannya, Najib berkata peranan TLDM semakin mencabar ekoran perkembangan keselamatan sejagat, tambahan pula dengan kedudukan Malaysia sebagai negara maritim dan negara dagang yang ke-19 terbesar di dunia.

0 comments: