Panel bebas khas siasat klip video hakim dibubar

Oleh Norfatimah Ahmad

KUALA LUMPUR: Panel bebas khas yang menyiasat kesahihan rakaman dan perbualan didakwa antara seorang peguam dan hakim kanan mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara secara automatik dibubarkan sebaik menyerahkan laporan kes berkenaan minggu lalu.

Pengerusi panel berkenaan, Tan Sri Haidar Mohd Noor, berkata ahli panel khas diberi tempoh sebulan untuk melaksanakan tugas berkenaan dan laporan itu disiapkan dan dikemukakan dua hari lebih awal.

"Kami sudah melaksanakan tugas diamanahkan dan laporan sudah dikemukakan kepada Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Sani Abd Hamid, minggu lalu.

"Setakat ini, tidak ada sebarang arahan baru diterima dan panel boleh dianggap dibubarkan selepas selesai melaksanakan tugas dan tempoh pelantikannya tamat," katanya ketika dihubungi semalam.

Difahamkan, Kabinet akan membincangkan hasil laporan panel khas itu pada mesyuarat jemaah menteri minggu ini.

Baru-baru ini, dilaporkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menayangkan bahagian kedua klip video sembilan saat mengenai perbualan itu kepada media di pejabatnya.

Anwar dikatakan akan menayangkan bahagian ketiga klip video itu kepada media tidak lama lagi. Tempoh klip video penuh itu didakwa sepanjang 14 minit 16 saat.

Panel khas itu ditubuhkan selepas kerajaan memutuskan dakwaan dan spekulasi pihak tertentu berhubung isu berkenaan boleh menjejaskan keyakinan terhadap kredibiliti serta integriti sistem kehakiman negara.

Selain Haidar, panel turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar dan aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye.

Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan panel khas itu boleh bermesyuarat semula jika ada perkembangan baru dalam kes berkenaan.

Mengenai bahagian kedua klip video yang dimiliki Anwar, Haidar yang juga Bekas Hakim Besar Malaya berkata, pihaknya tidak keberatan untuk menjalankan tugas jika khidmatnya serta ahli panel lain diperlukan untuk tujuan sama.

"Terpulang pada kerajaan, jika perlu siasat (bahagian kedua klip video) kami akan lakukan," katanya.

0 comments: