SPEAKER Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib, semalam sekali lagi menegur kehadiran tidak memuaskan Ahli Parlimen.
Seperti kira-kira dua minggu lalu, kehadiran yang tidak memuaskan semalam juga menyebabkan banyak soalan pada sesi soal jawab lisan tidak dapat dikemukakan.
"Saya harap Yang Berhormat yang ada soalan untuk dikemukakan pada hari tertentu hadir, bangun bila dijemput untuk mengemukakan soalan.
"Begitu juga diharap Menteri, Timbalan Menteri atau Setiausaha Parlimen yang berkenaan dengan soalan dikemukakan mesti hadir untuk memberikan maklum balas. Sama ada hendak jawab atau tidak terpulang pada mereka, tetapi mesti hadir untuk maklum balas pada soalan dikemukakan," katanya.
Ramli berkata demikian sebaik tamat sesi soal jawab lisan semalam iaitu 10 daripada 25 soalan gagal dikemukakan. Daripada jumlah itu 8 soalan tidak dikemukakan kerana Ahli Parlimen tidak hadir, manakala dua lagi tidak dapat dijawab kerana wakil dari Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar tidak hadir.
Ekoran itu, semua soalan disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat diselesaikan sebelum tempoh bagi sesi soal jawab tamat.
Ini menyebabkan Speaker memberi peluang kepada anggota Parlimen yang hadir untuk mengutarakan soalan tersenarai.
Pada 29 Oktober lalu, Ramli pernah memberi teguran sama dengan mengeluarkan arahan supaya ketidakhadiran Ahli Parlimen direkodkan.
Mengulas perkara itu ketika ditemui di kamarnya, Ramli menyifatkan ketidakhadiran itu sebagai perkembangan tidak sihat kerana persidangan Parlimen adalah mesyuarat yang paling penting.
"Ini perkembangan yang tidak sihat, sedangkan mereka (Ahli Parlimen) sudah diberikan notis sejak Rabu bahawa soalan mereka akan disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini (semalam).
"Mereka sepatutnya bangga soalan mereka naik, terpilih daripada banyaknya soalan yang dikemukakan itu," katanya sambil menambah setiap penggal sejumlah 1,200 soalan untuk soal jawab lisan dikemukakan Ahli Parlimen dan soalan tersenarai adalah antara yang terpilih.
Bagi wakil kerajaan pula, Ramli mengingatkan mereka sentiasa mendahulukan tanggungjawab wajib sebagai wakil kerajaan bagi mengelak sebarang tanggapan yang tidak elok terhadap diri masing-masing.
0 comments:
Post a Comment