PM mahu projek untuk rakyat siap lebih awal

Oleh Kandau Sidi

MIRI: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua agensi kerajaan menyiapkan pelaksanaan projek pembangunan di seluruh negara lebih awal daripada jadual asal supaya dapat dimanfaatkan rakyat.

Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan pelaksanaan segera projek itu hendaklah dilakukan tanpa menjejaskan kualiti kerja yang ditetapkan.

Beliau berkata, kejayaan menyiapkan projek lebih awal dari tempoh yang dijadualkan, membuktikan kerajaan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

"Kerajaan mahu semua projek yang disediakan untuk faedah rakyat di seluruh negara memenuhi kualiti tinggi yang diinginkan. Setiap peruntukan kerajaan perlu dibelanjakan dengan baik.

"Jika ada duit kita belanja, buat apa simpan. Duit diperuntukkan untuk perbelanjaan bagi melaksanakan projek pembangunan untuk kebaikan rakyat dan negara," katanya ketika merasmikan jejambat berharga RM45 juta di Bulatan Pujut di sini, petang semalam.

Jejambat yang dibina mulai Februari 2005 oleh Syarikat Global Upline Sdn Bhd itu, disiapkan dalam masa tujuh bulan, iaitu sebelas bulan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.

Terdahulu, Abdullah yang dalam lawatan rasmi dua hari ke Sarawak, disambut Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan jemaah Kabinet negeri bersama lebih 2,000 penduduk berbilang kaum di Lapangan Terbang Miri.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui dan Penasihat Global Upline Sdn Bhd, Tan Sri Thing Pek King.

Abdullah berkata, kerajaan BN tidak pernah lupa janjinya kepada rakyat ketika pilihan raya lalu.

"Sokongan yang diberikan, memberi makna rakyat mahu kerajaan BN memberi khidmat yang diinginkan," katanya.

Beliau yang kagum dengan kemajuan Sarawak, berkata negeri ini yang ditadbir kerajaan BN menunjukkan pembangunan cepat.

"Kemudahan untuk rakyat bertambah baik, misalnya persekolahan, jalan raya, kewujudan universiti dan jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini semakin ramai. Ini bukti kerajaan BN berjaya melaksanakan tanggungjawabnya," katanya.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, lebih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk membangunkan negeri ini.

Terdahulu, Taib membayangkan pilihan raya umum dijangka diadakan dalam

tempoh terdekat ini dan yakin BN tidak menghadapi masalah untuk mencapai kemenangan besar.

"Sarawak bersiap sedia sejak awal lagi, namun tidak kita boleh leka ketika menghadapi pilihan raya berkenaan," katanya.

0 comments: