Undang-undang baru kawal pekerja asing



Datuk Tan Chai Ho

Kerajaan tangani kebanjiran, cegah kemasukan secara haram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan beberapa pembaharuan termasuk menggubal undang-undang baru bagi menangani kebanjiran pekerja asing serta mencegah kemasukan mereka secara haram ke negara ini.

Menerusi undang-undang dikenali Akta Pekerja Asing itu, beberapa syarat perlu dipatuhi antara majikan dengan pekerja asing, seperti perlindungan terhadap mereka, insurans, prosedur penggajian dan aduan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho, berkata dengan adanya undang-undang seumpama itu, proses pengambilan pekerja dari luar negara akan menjadi lebih ketat dan pemantauan terhadap mereka dapat dilaksanakan dengan lebih rapi.


"Akta ini lebih sempurna dan memberi perlindungan adil kepada mereka bekerja secara sah di negara ini," katanya kepada Bernama, di sini, semalam.

Sehingga 30 September lalu, seramai 2.2 juta pekerja asing bekerja dalam pelbagai sektor di negara ini. Jumlah itu tidak termasuk kira-kira 500,000 warga asing yang dilaporkan masuk secara haram.

Kebanjiran pekerja asing itu menimbulkan kebimbangan rakyat kerana selain menjejaskan peluang penduduk tempatan mendapatkan pekerjaan, golongan itu juga menyebabkan masalah sosial dan jenayah.


Isu kebanjiran pekerja asing dan pendatang tanpa izin turut dibangkitkan perwakilan Umno pada perhimpunan agung, minggu lalu.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno, mahu majikan menghentikan ketagihan menggaji pekerja asing, sebaliknya berusaha meningkatkan teknologi bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja luar.

Tan berkata, sebelum ini Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia mengendalikan kes pekerja asing.

Bagaimanapun, dengan undang-undang baru ini, tugas kementerian dapat dibahagi-bahagikan dan lebih jelas dalam satu-satu bahagian.

Katanya, Unit Perancang Ekonomi (EPU) diberi mandat menyediakan panduan had kuota warga asing yang dibenarkan bekerja dalam semua sektor pekerjaan di negara ini.

0 comments: