PBT Selangor gagal capai mutu diberi penyapu


Mohamad Khir Toyo menyerahkan penyapu kepada wakil Majlis Daerah Hulu Selangor pada majlis anugerah Bulan Kualiti 2007 di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 12 Nov. – Pada bulan Januari lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat tanah dan daerah (PTD) di negeri itu berusaha membaiki prestasi masing-masing.

Beliau memberi amaran mana-mana PBT dan PTD yang gagal berkhidmat dengan baik termasuk mengutip cukai akan dihadiahkan penyapu sebagai tanda simbolik untuk mereka membuat ‘pembersihan pejabat’ bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Ketika itu banyak pihak menganggap amaran beliau hanya sebagai sesuatu yang melucukan.

Hari ini, pada majlis Anugerah Khas Prestasi Kutipan Hasil Negeri Selangor 2006 yang diadakan di Shah Alam, Mohamad Khir mengotakan janjinya untuk menghadiahkan ‘penyapu’ kepada Yang Dipertua PBT dan ketua jabatan yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang.

Penerima pertama ‘penyapu’ itu ialah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Mohamad Khir berkata, pemberian penyapu itu bukan untuk menjatuhkan maruah tetapi bagi membersihkan sikap buruk dan amalan negatif PBT dan jabatan yang tidak mencapai tahap maksimum kualiti perkhidmatan yang telah ditetapkan.

Bagi jabatan yang cemerlang dan mencapai sasaran, kakitangannya diberi insentif seperti lawatan ke luar negara, katanya.

0 comments: