Dewan gamat bahas isu beli roket

DEWAN Rakyat semalam gamat seketika apabila seorang wakil pembangkang membawa isu cadangan pembelian kapal angkasa Russia, Soyuz TMA-11 oleh kerajaan yang dianggap sebagai satu pembaziran.

Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) juga mendakwa kos menghantar rakyat Malaysia ke angkasa yang mencecah RM100 juta sebagai pembaziran yang boleh dielakkan

"Buat apa membazir membeli roket, di sini sudah ada 12 roket," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2008.

Dua belas roket yang dimaksudkan Chong merujuk kepada bilangan wakil rakyat DAP di Dewan Rakyat kerana 'roket' adalah lambang parti itu.

Katanya, kerajaan tidak perlu lagi membazir lebih banyak wang rakyat untuk menghantar seorang lagi angkasawan.

Sindiran Chong itu bagaimanapun dibalas Lau Yeng Pheng (BN-Puchong) yang mencelah dengan menegaskan bahawa roket (lambang DAP) tidak boleh berlepas ke angkasa.

"Itu roket mana ada enjin, tak boleh terbang," katanya disambut gelak ketawa Ahli Parlimen lain.

Kenyataan itu juga membuatkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Lim Si Cheng mencelah: "Itu roket cuma atas kertas."

Malaysia dilaporkan menimbang tawaran Russia untuk membeli roket itu yang membawa angkasawan Malaysia pertama Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bulan lalu. � Bernama

0 comments: