KUALA LUMPUR 19 Nov. – Perebutan jawatan dalam pemilihan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada 18 Disember ini dijangka sengit yang menyaksikan persaingan dua calon untuk merebut jawatan Presiden kongres itu.
Setiausaha Agung MTUC, G. Rajasekaran berkata, dua calon itu ialah penyandang jawatan iaitu Syed Shahir Syed Mohamud yang akan ditentang oleh timbalannya, Shafie BP Mammal.
‘‘Kita jangka dua lagi calon yang dicadangkan bertanding akan menarik diri pada hari terakhir penamaan calon pada 5 Disember ini.
‘‘Selain itu, 16 lagi jawatan utama termasuk jawatan Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung akan dipertandingkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pemilihan pucuk pimpinan MTUC yang dijangka ‘panas’ itu menyaksikan 600 perwakilan dari 142 kesatuan sekerja akan terlibat menentukan hala tuju kongres yang mempunyai 750,000 ahli itu.
Pada pemilihan 2004, Syed Shahir yang merupakan seorang bekas guru menewaskan Datuk Zainal Rampak yang mengetuai MTUC selama enam penggal sejak 1986.
Difahamkan, berlaku persaingan bagi setiap jawatan dalam MTUC kerana terdapat ahli kesatuan sekerja itu tidak berpuas hati dengan campur tangan parti politik dalam MTUC.
Sementara itu, Syed Shahir ketika dihubungi mengakui beliau mempunyai keyakinan untuk terus dipilih menerajui MTUC tetapi tidak sampai menimbulkan perasaan riak.
‘‘Kita sudah diajar untuk tidak riak. Usaha kuat sedang dijalankan berserta pasukan yang setia di belakang saya selama ini.
‘‘MTUC kini berhadapan dengan pelbagai cabaran. Banyak lagi tugas yang perlu diselesaikan untuk membela hak pekerja,’’ jelasnya.
Syed Shahir pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2004 mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi tewas.
Sementara itu, Shafie ketika dihubungi enggan mengulas mengenai persaingan untuk menguasai MTUC. Katanya, beliau akan hanya membuat kenyataan selepas 5 Disember ini.
‘‘Kita minta semua pihak bersabar kerana sebarang kenyataan mengenai pemilihan itu hanya boleh dibuat selepas pencalonan ditutup,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment