Dr Khir tak anggap kenyataan PM kritikan

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail

SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo tidak menganggap kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu Selangor mengkaji semula pemberian hadiah penyapu kepada kakitangan awam di negeri itu yang gagal mencapai tahap yang diinginkan sebagai kritikan.

Beliau berkata, Perdana Menteri faham kerana sudah memaklumkan tujuan sebenar kerajaan menghadiahkan penyapu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Katanya, Perdana Menteri menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya supaya kakitangan awam meningkatkan produktiviti termasuk anugerah penyapu jika ia diterima semua pihak.

"Saya tidak anggap kenyataan Perdana Menteri sebagai kritikan. Saya sudah bercakap dengan Perdana Menteri mengenai isu ini dan beliau menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan," katanya pada sidang akhbar selepas membentangkan Bajet 2008 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Dr Mohamad Khir diminta mengulas kenyataan Abdullah kelmarin yang dilaporkan meminta Selangor memikirkan cara lain jika kaedah itu tidak menampakkan kebaikan.

Abdullah bagaimanapun dilaporkan berkata, jika perkara itu dilihat berkesan dan tidak menghina serta sanggup diterima pegawai kerajaan, ia tidak menjadi kesalahan.

Dr Mohamad Khir berkata, pemberian penyapu kepada jabatan atau agensi yang gagal mencapai tahap minimum akan diteruskan pada masa akan datang jika tidak dibantah kakitangan awam di negeri itu.

Katanya, jika tindakan itu masih tidak mampu memberi kesedaran kepada kakitangan awam meningkatkan produktiviti, jalan terakhir dan paling sukar diambil ialah memberhentikan kakitangan awam terbabit.

"Ini jalan terakhir dan paling sukar diambil kerana kita menutup periuk nasi orang lain. Mesej saya amat jelas, jika tidak mahu diambil tindakan, kakitangan awam perlu tingkatkan produktiviti," katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohamad Khir kesal dengan laporan sebuah akhbar kelmarin yang melaporkan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Tukiman Nail lebih rela bersara awal atau mengambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) daripada menerima penyapu kerana malu.

0 comments: