Teliti dulu sekolah harian'

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar


TERIMA SUMBANGAN: Hishammuddin menerima sumbangan Program KidSmart Early Learning daripada Pengurus Pemasaran IBM, Ali Munawar (kiri) sambil disaksikan Yaakub (kanan) pada majlis pelancaran Program Perkongsian Pintar ke arah Pembestarian Sekolah Kebangsaan 2007 di Ayer Keroh, Melaka, semalam.

Pelajar cemerlang luar bandar patut diutama masuk SBP: Hishammuddin

MELAKA: Ibu bapa yang mempunyai anak memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diminta meneliti terlebih dahulu sekolah di mana anak mereka ditempatkan, sebelum membuat keputusan untuk menghantar mereka ke sekolah berasrama penuh (SBP) yang menawarkan tempat terhad, selain persaingan sengit.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tidak ramai ibu bapa memperuntukkan masa untuk berjumpa dengan pengetua, guru atau melihat sendiri keadaan prasarana di sekolah harian yang sememangnya mempunyai kemudahan yang lengkap, sebaliknya terus memilih SBP.

Beliau berkata, apa akan jadi sekiranya SBP yang menjadi pilihan tidak memenuhi harapan ibu bapa terbabit pada kemudian hari, sedangkan terdapat sekolah lain yang lebih baik dari segi kemudahan prasarana serta pembelajarannya.


"Peranan ibu bapa sangat penting untuk meneliti serta memperuntukkan masa bagi menempatkan anak mereka yang cemerlang dalam peperiksaan di sekolah terbaik.

"Tidak semestinya SBP berjaya mempertahankan prestasi kejayaan masing-masing kerana sekolah harian juga menunjukkan kemampuan untuk bersaing. Ini menunjukkan kejayaan sesebuah sekolah bukan terletak kepada keistimewaan tertentu, tetapi semangat pelajar untuk mencapai keputusan peperiksaan yang baik dan jika tekun, mereka boleh mencapai kejayaan walau sekolah mana sekali pun mereka ditempatkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran Program Perkongsian Pintar ke arah Pembestarian Sekolah Kebangsaan 2007 di Sekolah Kebangsaan Ayer Keroh di sini, semalam.


Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Jabatan Sekolah), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim dan Exco Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Yaakub Md Amin.

Sementara itu, Hishammuddin berharap, pengambilan pelajar ke SBP patut diberi keutamaan kepada pelajar yang cemerlang akademik dan kokurikulum dari luar bandar.

Ini katanya, bertujuan memastikan pelajar berkenaan terus mengekalkan kecemerlangan untuk berdepan dengan dua lagi peperiksaan penting pada peringkat menengah iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya harap SBP dapat diberikan kepada mereka ini (pelajar luar bandar) yang cemerlang. Ia kerana Kementerian Pelajaran mengambil tempoh agak lama untuk menyediakan prasarana serta kemudahan yang lengkap di sekolah kawasan pedalaman dan pelajar yang cemerlang seperti ini harus diberi keutamaan ke SBP," katanya yang meminta Unit SBP mengambil kira perkara itu.

Diminta mengulas kes seorang murid perempuan yang mati dipercayai menggantungkan diri akibat kecewa dengan keputusan UPSR awal pagi kelmarin, Hishammuddin berkata, ibu bapa dinasihatkan supaya tidak terlalu memberi tekanan kepada anak mereka untuk cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki.

Beliau berkata, ibu bapa pada masa kini terlalu meletakkan pencapaian akademik di atas segala-galanya kepada anak mereka.

"Murid yang tidak berjaya pada peringkat UPSR masih mempunyai banyak lagi peringkat untuk membuktikan kemampuan masing-masing. Ada tidak cemerlang di dalam peperiksaan UPSR, tetapi mereka cemerlang dalam PMR dan SPM," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata Kementerian Pelajaran akan berusaha memperkasakan Sekolah Kebangsaan (SK) untuk memastikan ia menjadi pilihan utama rakyat dan kekal sebagai sekolah aliran perdana yang mampu mempertingkat dan memperkukuhkan perpaduan kaum.

"Pembestarian SK adalah satu strategi memperkasakan sekolah berkenaan dan ia adalah proses berterusan ke arah pembudayaan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pendidikan," katanya.

0 comments: