Kerajaan tak benar harga tepung naik

Oleh Mohd Hamizar Hamid

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam memutuskan harga tepung gandum biasa kekal RM1.35 sekilogram, walaupun mendapat desakan pihak industri supaya menaikkan harga bahan makanan itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal, berkata peningkatan harga minyak dan barangan lain tidak boleh dijadikan alasan untuk pengilang menaikkan harga tepung.

Beliau menegaskan pihak industri perlu akur dengan undang-undang kerana tepung gandum biasa disenaraikan sebagai barangan kawalan.

"Jangan bagi alasan harga minyak naik, harga barang pun naik dan minta kita untuk naikkan harga tepung," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat pengeluar dan pengilang tepung di kementeriannya di sini.

Shafie meminta pengguna membuat laporan sekiranya ada peniaga menaikkan harga tepung gandum biasa atau barangan berasaskan bahan itu.

Mengikut Akta Kawalan Harga 1946, pesalah individu boleh dikompaun sehingga RM15,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat boleh didenda RM25,000.

Beliau berkata, pihak industri juga diarah memastikan bekalan tepung gandum biasa di pasaran mencukupi.

“Jangan pula industri banyak galakkan pengeluaran tepung yang diperkaya yang kita tak kawal harganya,” katanya.

Shafie bagaimanapun meminta pihak industri memperincikan beberapa perkara dalam masa terdekat ini dalam usaha mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung.

Awal bulan ini, harga roti (jenama terkenal) naik antara 10 sen hingga 30 sen tetapi kenaikan itu tidak dapat dielakkan ekoran peningkatan harga tepung yang diperkayakan akibat harga biji gandum import dari Amerika Syarikat dan Kanada mencecah AS$450 (RM1,530) satu tan berbanding AS$235 (RM799) sebelum ini. Tepung yang diperkayakan tidak dikawal kerajaan.

Mengenai aduan kenaikan harga burger berikutan peningkatan harga roti, Shafie berkata, pegawai kementerian diarah menyiasat sama ada roti itu menggunakan tepung yang diperkayakan atau tepung biasa yang harganya dikawal.

“Siasatan tidak sukar jika ada bukti kerana hanya ada lapan kilang besar mengeluarkan roti burger," katanya.

0 comments: