SINGAPURA: Asean tidak akan menggunakan pendekatan konfrontasi dalam menangani isu Myanmar, sebaliknya akan memberi motivasi untuk membawa pemerintah junta tentera ke meja rundingan bagi membincangkan isu berkaitan demokrasi di negara itu, kata Setiausaha Agung Asean, Ong Keng Yong.
"Cara untuk berurusan dengan Myanmar dan mendapatkan hasil yang positif, kami tidak akan melaksanakannya menerusi sekatan dan penggantungan keahlian negara itu dalam Asean. Kami semua mahukan hasil yang baik. Ia adalah satu situasi yang rumit di Myanmar," katanya sambil menolak gesaan Senat Amerika Syarikat (AS) yang mahukan tindakan keras menerusi sekatan diambil terhadap Myanmar.
Sabtu lalu, Senat AS sebulat suara meluluskan resolusi menggesa Asean untuk menimbangkan tindakan tegas sewajarnya, termasuk penggantungan keahlian sebagai hukuman, sehingga kerajaan pemerintahan junta tentera itu menghormati dan komited terhadap soal hak asasi manusia.
Ong menjelaskan, Asean bimbang tindakan secara kekerasan dan konfrontasi akan menyebabkan mereka tidak mendapat hasil yang diinginkan daripada pemerintah negara terbabit (Myanmar).
"Pendekatan pemimpin kami (Asean) ialah untuk mencari jalan bagi memberi motivasi kepada rakan kita di Myanmar untuk menyumbang terhadap Asean, atau yang relevan dengan organisasi itu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Menteri Luar Asean yang meneliti kandungan Piagam Asean disediakan Pasukan Petugas Khas Peringkat Tertinggi (HLTF) mengenai piagam itu di sini, semalam.
Beliau berkata, pemimpin Asean memutuskan untuk mencari insentif untuk membawa Kerajaan Myanmar bekerjasama dengan negara dunia ke arah mencari penyelesaian terhadap masalah di negara mereka.
Sementara itu, Ong berkata, Perdana Menteri Myanmar, Thein Sein akan mengadakan pertemuan dua hala dengan semua pemimpin Asean bagi memberikan penjelasan mengenai perkembangan terkini di negaranya.
"Justeru, kita biarkan mereka (pemimpin Asean) berbincang mengenai isu Myanmar dan membuat keputusan terbaik demi manfaat dan kesepaduan Asean," katanya.
Ong juga mengesahkan Perutusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, Ibrahim Gambari akan bertemu dengan semua pemimpin Asean pada sidang kemuncak kali ini bagi memberikan pandangan PBB mengenai jalan terbaik perlu diambil Myanmar bagi menangani masalahnya.
Katanya, pendirian Asean ialah menyokong inisiatif yang dilaksanakan PBB mengenai Myanmar dan memberi bantuan yang diperlukan dalam usaha negara itu menangani masalah yang dihadapinya.
September lalu, Asean mengeluarkan kenyataan yang melahirkan 'pendirian' untuk tidak menggunakan kekerasan dalam menangani masalah di Myanmar.
0 comments:
Post a Comment