KUALA LUMPUR 19 Nov. - Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) khuatir keputusan tidak menjadikan bayaran PIBG sebagai wajib akan menyebabkan sesebuah sekolah itu ketinggalan dan tidak berdaya saing.
Presidennya, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, ini kerana aktiviti yang dirancang untuk kepentingan pembelajaran anak-anak mereka akan tergendala dan mungkin tidak dapat dilaksanakan.
“Aktiviti seperti kelas tambahan, kelas komputer dan hari kokurikulum memerlukan perbelanjaan yang banyak dan sekiranya ibu bapa tidak mahu membayarnya, anak-anak mereka tidak dapat merasa kemudahan seperti ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Mohamad Ali, kesemua aktiviti yang dilaksanakan di sekolah bukan semata-mata untuk kebaikan dari aspek pendidikan bahkan juga sebahagian daripada pembentukan sahsiah diri.
“Sebagai contoh, aktiviti kokurikulum bukan sahaja memberi manfaat kepada minda pelajar malah mengajar anak-anak kita menjadi pemimpin selain menanam sikap tolong menolong,” jelasnya.
Mohamad Ali berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Kementerian Pelajaran yang memberi kelonggaran kepada ibu bapa sama ada ingin membayar atau tidak bayaran tambahan yang dikenakan.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam berkata, bayaran tambahan yang dikenakan oleh pihak sekolah serta PIBG pada sesi persekolahan tahun depan adalah tidak wajib dan pembayarannya bergantung kepada persetujuan ibu bapa.
0 comments:
Post a Comment