Oleh Azidan Nahar dan Bashah Zainol Abidin
DI SEBALIK ketegasan bahawa barisan serangan perlu melakukan lebih banyak 'kerja rumah' gara-gara kesilapan mensia-siakan berdozen peluang keemasan untuk menjaringkan gol, pengendali skuad Kedah, Azraai Khor Abdullah masih positif skuadnya mampu bergelar antara yang terbaik dalam Liga Malaysia, musim ini.
Juara tiga piala musim 2006/07 - Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA itu kecundang menerusi sepakan penalti 4-5 kepada Perlis di Stadium Darulaman Alor Star, malam kelmarin dalam Perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah yang juga pembuka tirai Liga-M.
Apapun, dasar diterapkan polisi Azraai masih sama, bersandar kepada kekuatan pemain muda yang terbukti berjaya membuahkan hasil diingini dan 10 pemain muda bawah 21 tahun dalam skuadnya membuktikan hakikat itu.
“Sedikit kecewa mungkin penentuan sepakan penalti itu tetapi apa yang positif kami menguasai 80 peratus permainan namun banyak peluang tidak digunakan untuk mendapatkan gol.
“Sepatutnya ia kemenangan nyata buat kami, penyerang sepatutnya lebih peka dan tidak melakukan perkara seperti itu. Apapun Alhamdulillah kami tidak kalah dalam perlawanan pertama ini kerana musim lalu kami tewas perlawanan pertama di tempat sendiri 0-1 kepada Brunei,” katanya.
Azraai jelas gembira dengan barisan pemain pertahanan baru skuad itu seperti Mohd Sabree Mat Abu dan Shafizan Hashim yang beraksi cemerlang malam semalam selain kelibat pemain berusia 22 tahun, Zairul Fitree Ishak dan Ronny Harun yang masih berusia 23 tahun.
Dia juga masih memiliki tiga pemain yang kini bersama skuad kebangsaan bawah 23 tahun di Sukan Sea iaitu Samransak Kram, Khryll Muhymeen dan Bunyamin Omar.
Katanya, skuad musim ini disertai 10 pemain bawah 21 tahun dengan tiga daripada mereka adalah daripada skuad Piala Presiden dan di kelompok ini, dua daripada mereka adalah pemain utama pasukan yang masih berusia bawah 20 tahun.
Esok skuad Kenari akan berkunjung ke Pahang bagi mengharungi perlawanan kedua sebelum berehat sehingga 18 Disember berikutan Sukan Sea Korat untuk meneruskan usaha mereka mencipta gemilang sekali lagi musim ini.
0 comments:
Post a Comment