Sarjana pengajian rasuah di UKM

SEREMBAN 19 Nov. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini memeterai perjanjian bagi melaksanakan program Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Rasuah) yang akan dijalankan di kampus induk universiti itu di Bangi, Selangor.

BPR diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Said Hamdan manakala UKM oleh Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Program yang pertama kali ditawarkan oleh sebuah institusi pengajian tinggi di rantau ini akan dilaksanakan selama 18 bulan dengan tempoh pengajian tiga semester dan membabitkan 15 orang pelajar.

Kursus itu akan dikendalikan oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).

MACA mula beroperasi pada 1 Disember 2005 sebagai satu institusi atau akademi latihan. Akademi itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 12 April lalu.

Sebelum itu, ia merupakan sebahagian daripada bahagian Ibu Pejabat BPR iaitu Bahagian Latihan sejak 1974.

Terdahulu, Sharifah Hapsah dalam ucapannya berkata, kerjasama antara UKM dan BPR terjalin sejak 2001 apabila beberapa pakar sosiologi pembangunan, kriminologi dan psikologi telah diminta oleh Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) untuk menjalankan Kajian Persepsi Awam Terhadap Rasuah di Malaysia.

Berikutan itu, katanya, kerajaan telah melantik kumpulan penyelidik untuk menyediakan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan rangka penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) yang kedua-duanya dilancarkan pada 2004.

“Kerjasama UKM dengan BPR diteruskan lagi apabila pada tahun 2006, kumpulan penyelidik sama diminta menjalankan kajian persepsi awam sebagai memenuhi keputusan Jawatankuasa Khas Kabinet supaya kajian itu dijalankan setiap lima tahun oleh UKM,” tambahnya.

0 comments: