Singapura dakwa bukan sekadar tadbir rumah api



BINCANG: Dari kiri, Peguam Negara, Abdul Gani Patail, Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Farida Ariffin dan Abdul Kadir di ICJ The Hague, semalam.

Jayakumar tolak tuduhan cubaan besarkan Pulau Batu Puteh

SINGAPURA yang memulakan hujah lisan pusingan kedua semalam, memberitahu mahkamah dakwaan Malaysia bahawa republik itu cuma pentadbir rumah api tidak berasas.

Timbalan Perdana Menteri Singapura, Prof S Jayakumar, sehubungan itu memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), persoalan yang di depan mahkamah ini adalah mengenai kedaulatan dan bukan hak untuk mentadbir rumah api.

"Ejen Malaysia (Tan Sri Abdul Kadir Mohamad) dalam cubaan untuk mempengaruhi mahkamah, memberitahu mahkamah bahawa Malaysia tetap menghormati Singapura sebagai operator rumah api dan meneruskan kedudukan itu.


"Singapura tidak memerlukan penghormatan itu dan Malaysia tidak mempunyai asas berbuat demikian. Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pedra Branca (Pulau Batu Puteh) dan rumah api itu.

"Kegiatan yang dijalankan Singapura di pulau itu melebihi sebagai pentadbir rumah api dan semua kegiatan itu diakui Malaysia sehinggalah pada Disember 1979 (tarikh Malaysia menerbitkan peta menjadikan Pulau Batu Puteh sebahagian wilayah Malaysia)," katanya yang memulakan hujah lisan pusingan kedua Singapura, semalam.

Jayakumar berkata, Malaysia membuat pelbagai tuduhan tidak berasas untuk mempengaruhi mahkamah dalam membuat keputusan memihak kepada negara itu.

Katanya, antaranya Peguam Diraja, Sir Elihu Lauterpacht pada hujahnya membuat sindiran negara itu menyembunyikan surat permohonan Gabenor Butterworth kepada Sultan Ali dan Temenggong Johor pada 1844 berhubung pembinaan rumah api di Pulau Batu Puteh.

Lauterpacht dalam hujahnya minggu lalu memberitahu mahkamah beliau menyimpulkan Singapura sengaja menyembunyikan surat itu selepas permintaan untuk mendapat salinannya tidak dijawab Singapura.

Jayakumar juga mendakwa Malaysia cuba mendapat simpati mahkamah bahawa negara itu menjadi mangsa kepada tindakan Singapura yang mengganggu persefahaman yang dicapai antara Johor dan Great Britain sejak 150 tahun lalu.

Abdul Kadir dalam ucapan pembukaannya minggu lalu, antara lain berkata keputusan Singapura menuntut kedaulatan Pulau Batu Puteh menyimpang jauh persetujuan dicapai di antara Kesultanan Johor dan British.

berhubung pembinaan serta pentadbiran rumah api di pulau itu sejak 150 tahun. Jayakumar yang juga Menteri Penyelaras Keselamatan Negara dan Undang-udang, mendakwa kenyataan Abdul Kadir perhubungan Malaysia-Indonesia akan terjejas jika Singapura menang dalam kes itu, percubaan untuk mempengaruhi mahkamah serta tidak berasas.

Katanya, Malaysia mendakwa republik itu akan menambak laut sekitar Pulau Batu Puteh dan mewujudkan kuasa berpengaruh maritim sekali gus boleh menjejaskan alam sekitar di kawasan itu.

Malaysia berhujah republik itu mempunyai dasar aktif berhubung penambakan laut dan dalam tuntutan bertulis ada dinyatakan cadangan untuk menambak laut sekeliling pulau berkenaan.

Abdul Kadir berkata, Malaysia pernah membawa kes penambakan laut oleh Singapura ke Tribunal Antarabangsa Mengenai Undang-udang Laut (ITLOS) pada September 2003.

Sehubungan itu, katanya, Singapura tidak memerlukan sebuah pulau besar untuk mengendalikan rumah api yang lebih baik.

Jayakumar menjelaskan kepada mahkamah semua tuduhan Malaysia tidak berasas kerana kes negara itu tidak bertumpu kepada fakta isu dan undang-undang.

Sebelum ini, Abdul Kadir berkata Malaysia menggunakan dasar aman dan bertindak secara baik sementara menunggu pertikaian itu diselesaikan mahkamah.

Perbicaraan bersambung hari ini.

0 comments: