Sultan mahu Kerajaan Pas sedia perancangan

Oleh Wan Faizal Ismayatim


PENUH ISTIADAT: Tuanku Ismail Petra memeriksa perbarisan anggota PDRM pada majlis pembukaan Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Yang Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-11, di Kota Darulnaim, Kota Bharu, semalam.

Pentadbiran Kelantan ditegur supaya buat persediaan komprehensif

KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra menitahkan Kerajaan Pas Kelantan supaya mempercepatkan semua urusan berkaitan tanah atau tapak bagi menjayakan semua projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di negeri ini.

Baginda juga mahu jentera penyelarasan pelaksanaan antara Kerajaan Pusat dan negeri dibentuk bagi memastikan projek ECER yang dirancang termasuk di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) berjalan lancar.

"Kerajaan negeri perlu turut serta mempergiat dan memperkembangkan ekonomi negeri menerusi pembabitan swasta dalam bidang berpotensi seperti pembangunan tanah, perladangan, prasarana pelancongan serta kemudahan asas lain yang perlu dilaksanakan dengan berkesan dan telus," titahnya.


Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan majlis pembukaan Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Yang Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-11, di Kota Darulnaim, di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Pembangkang di Dun Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa.

Sultan Kelantan bertitah, kerajaan negeri perlu membuat perancangan komprehensif dan jangka panjang dalam aspek pemilikan tanah, digubal segera yang mengambil kira keperluan penggunaan tanah pada masa depan.


"Beta menasihatkan kerajaan negeri melaksanakan pembangunan tanah secara terancang dengan memberikan keutamaan kepada projek yang benar-benar berdaya maju iaitu syarikat yang mempunyai keupayaan kewangan kukuh tanpa menafikan hak rakyat.

"Beta menarik perhatian kerajaan negeri supaya kawasan tertentu dikenal pasti dan dirizabkan sebagai tanah untuk simpanan kegunaan pada masa depan," titahnya.

Tuanku Ismail Petra berkata, baginda tertarik dengan saranan dan teguran Ketua Audit Negara mengenai kedudukan kewangan negeri Kelantan yang kerajaan negeri perlu meneroka sumber baru bagi menjana ekonomi.

"Sudah sampai masanya kerajaan negeri lebih bersungguh-sungguh dalam meneroka dan membangun sumber baru dari khazanah bumi dan warisan negeri Kelantan.

"Beta sedar, Kelantan adalah antara negeri yang kaya dengan sumber mineral yang perlu diberi perhatian dalam mengeksploitasi sumber berkenaan bagi menjana kepada pertambahan hasil negeri.

"Tiada ertinya meluluskan permohonan, tetapi kerja tidak dilaksanakan dan tiada pendapatan kepada kerajaan," titahnya.

Selain itu, baginda turut menyarankan supaya kerajaan negeri memberi perhatian kepada penjagaan dan pembangunan kawasan sumber air negeri supaya mutu air mentah bagi perkhidmatan air di negeri ini bertambah baik.

Sultan Kelantan turut melahirkan rasa sedih melihat kemudahan pelancongan di Kelantan tidak dibangunkan dengan sepatutnya, sedangkan Tahun Melawat Kelantan 2008 akan menjelang tidak lama lagi.

"Beta menyarankan usaha mempelbagaikan destinasi dan produk pelancongan dipergiatkan bagi menarik ramai pelancong tinggal lebih lama di negeri ini di samping meningkatkan promosi peringkat antarabangsa.

"Kerajaan negeri diharap dapat mengenalpasti bidang pelancongan baru bertaraf global seperti pelancongan kesihatan, pendidikan dan sukan. Kemudahan dan khazanah negeri yang sedia ada perlu dieksploitasi dengan berkesan," titahnya.

0 comments: