Jari sukar disambung – Dr. Hasnah

ALOR STAR 19 Nov. – Dua jari tangan kanan seorang suri rumah, Noraini Md. Isa, 35, yang terputus Sabtu lalu sukar disambung semula kerana saluran darah yang terlalu halus pada anggota itu, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Hasnah Ismail.

Menurutnya, berdasarkan siasatan yang dilakukan oleh Pengarah Hospital Sik (HS), Noraini telah menerima rawatan segera dan sewajarnya daripada Penolong Pegawai Perubatan (PPP) yang bertugas pada hari kejadian.

Jelasnya, pesakit itu yang dimasukkan ke Jabatan Kecemasan pukul 11.45 pagi Sabtu lalu kehilangan bahagian hujung jari telunjuk dan jari tengah tangan kanannya.

‘‘Ketika rawatan segera oleh PPP bertugas, jari-jari pesakit yang terputus telah dicuci dengan ‘saline’ dan dibalut menggunakan pembalut lembap sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik untuk ditunjukkan kepada Pegawai Perubatan.

‘‘Setelah itu barulah x-ray tangan mangsa yang tercedera itu diambil. Kami dapati Pegawai Perubatan terbabit telah merawat kecederaan Noraini mengikut prosedur ditetapkan,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan rasa tidak puas hati Noraini yang mendakwa kecuaian kakitangan Jabatan Kecemasan HS tidak menyimpan jari tangan kanannya yang terputus dalam peti sejuk atau ketulan ais telah menyebabkan dia kehilangan cebisan jari itu.

Suri rumah dari Kampung Baru, Jalan Cemara, Jeniang itu berkata, dia kehilangan jari telunjuk dan hantu sepanjang dua sentimeter setelah doktor gagal menyambung kembali jari itu kerana selnya telah mati.

Noraini dibawa oleh suaminya, Mohd. Saifol Abu Hassan, 41, ke HS untuk mendapatkan rawatan selepas dua jarinya terputus akibat terkena mata mesin pemotong rumput di rumah mereka.

0 comments: