Harga tepung tidak naik – Shafie

Oleh Norliza Abd. Rahman

PUTRAJAYA 19 Nov. – Kerajaan tidak akan menaikkan harga tepung gandum walaupun mendapat tekanan daripada pihak industri yang menuntut supaya harga jualan komoditi itu dinaikkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal berkata, keputusan itu dibuat selepas pengilang dan pengeluar gandum meminta kenaikan harga tepung biasa yang terlampau tinggi.

Beliau berkata, kementeriannya tetap dengan pendirian untuk mengekalkan harga tepung gandum biasa pada kadar RM1.35 sekilogram.

‘‘Mereka minta kenaikan harga tetapi saya katakan tidak boleh. Mereka minta tinggi sangat dan saya nyatakan pendirian kita untuk tidak naikkan harga itu dan keputusan ini adalah jelas.

‘‘Amaran saya, pastikan bekalan mencukupi, jangan bagi alasan harga minyak dan barang naik untuk minta kita naikkan harga tepung,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat pengeluar dan pengilang tepung di sini hari ini.

Utusan Malaysia difahamkan, pengeluar dan pengilang tepung meminta harga tepung gandum biasa dinaikkan sehingga RM2.45 sekilogram daripada RM1.35.

Bagaimanapun, Mohd. Shafie meminta pihak industri memperincikan tuntutan yang dibuat bagi memudahkan kerajaan membantu mengurangkan bebanan mereka dari segi kos pengangkutan.

Katanya, pengilang memberikan alasan kos tepung gandum di pasaran dunia meningkat 70 peratus daripada AS$235 dolar setan metrik sebelum September lalu kepada lebih AS$400 dolar setan metrik sekarang.

Mengulas mengenai dakwaan berlaku kenaikan mendadak harga roti burger yang mencecah RM7 sebungkus (40 buku roti) dalam tempoh sebulan lalu berbanding RM5 sahaja pada bulan lepas, beliau meminta peniaga burger membuat laporan mengenainya.

0 comments: