Umie Aida dapat hak penjagaan kekal dua anak

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Pelakon popular, Umie Aida diberi hak penjagaan kekal terhadap dua anak angkatnya oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nurulizwan Ahmad Zubir memutuskan demikian selepas mendengar permohonan dan maklumat-maklumat sokongan daripada wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Antara maklumat yang dikemukakan ialah kegagalan pihak JKM untuk mengesan ibu bapa kepada Mohd Daniel Firdaus, 14, dan Mohd. Dzulhelmy, 13, selepas beberapa iklan disiarkan di akhbar-akhbar tempatan.

Selain itu, pihak JKM juga mendapati Umie mampu untuk menjaga kedua-dua anak angkatnya itu selepas mengadakan pengawasan dan lawatan ke rumah pelakon itu.

Umie Aida atau nama sebenar Umi Kalsum Rahmad yang hadir ditemani peguamnya, Azreen Abu Noh kelihatan ceria dan sempat mengikuti prosiding di sebuah Mahkamah Sesyen di sini.

Ditanya tentang dua anak itu, kata Umie dia telah mengambil Mohd Daniel Firdaus Mohd. Dzulhelmy sebagai anak angkat sejak kira-kira 13 tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya dia tidak melakukan proses itu mengikut undang-undang dan pemberian hak milik penjagaan kekal ini penting sebagai formaliti.

‘‘Alhamdulillah. Syukur sebab saya sah sebagai ibu angkat mereka. Ramadan lalu saya mendapat hak penjagaan sementara. Kini saya dapat hak penjagaan kekal,’’ katanya semasa ditemui di luar mahkamah.

0 comments: