75 peratus peruntukan sudah dibelanjakan

KUALA LUMPUR 19 Nov. – Kementerian Kerja Raya sudah membelanjakan kira-kira 75 peratus daripada peruntukan RM20 bilion yang diperuntukan bagi melaksanakan pelbagai projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, semua projek tersebut berjalan lancar dan menepati jadual.

‘‘Sebanyak 75 peratus daripada peruntukan itu digunakan bagi melaksanakan pelbagai projek di bawah RMK-9 dan ini merupakan satu perkembangan yang baik.

‘‘Kami menyasarkan peruntukan yang diberi ini akan habis diguna pakai sebelum hujung tahun ini bagi pelaksanaan projek-projek tersebut,’’ katanya ketika sidang akhbar di Simposium Kebangsaan Guru-guru Besar Sekolah Tamil di sini hari ini.

Menurutnya, semua tender projek berkenaan sudah dikeluarkan dan ditandatangani para kontraktor terbabit.

‘‘Saya rasa sangat gembira terhadap kelancaran proses projek yang sedang dijalankan,’’ tambahnya.

Dalam pada itu, Samy Vellu memaklumkan mengenai perkembangan terkini pembinaan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SRJK)(T)) di negara ini.

Katanya, sebanyak 17 buah sekolah telah dirancang untuk dibina serta RM64.8 juta di peruntukan bagi menampung bantuan penuh dan RM16 juta untuk memenuhi bantuan modal.

‘‘Bantuan penuh meliputi segala perbelanjaan sekolah seperti pembayaran gaji pekerja dan lain-lain lagi, sementara bantuan modal merangkumi kos baik pulih bangunan sekolah,’’ ujarnya.

Selain itu, beliau juga berharap SRJK (T) dapat melahirkan individu yang berdedikasi, inovatif, dan dinamik menjelang 2057 selain memastikan taraf pendidikan sekolah Tamil berdiri sama tinggi dengan pendidikan sekolah lain.

0 comments: