1,935 pelajar Melayu ikuti program bahasa Cina

PUTRAJAYA 19 Nov. – Sebanyak 1,935 pelajar Melayu di sekolah kebangsaan (SK) mengikuti program bahasa Cina yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran pada awal tahun ini.

Projek rintis program bahasa Cina dan Tamil itu merupakan salah usaha kerajaan untuk memperkasakan SK.

Berdasarkan statistik terkini, jumlah keseluruhan pelajar yang mengikuti projek rintis bahasa Cina di SK ialah seramai 675 pelajar Cina, pelajar India (225) dan lain-lain bangsa (717 pelajar).

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Jabatan Sekolah) Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim (gambar), jumlah keseluruhan pelajar yang mengikuti projek rintis bahasa Tamil pula ialah sebanyak 238 pelajar Melayu, pelajar Cina (31) dan pelajar India seramai 644 orang.

Katanya, sebanyak 100 sekolah terlibat dalam program bahasa Cina dan 52 sekolah bagi program bahasa Tamil di seluruh negara.

‘‘Saya amat mengharap pelajar Melayu merebut peluang ini untuk mempelajari bahasa Cina iaitu bahasa Mandarin kerana ia bakal menjadi bahasa antarabangsa, bahasa ekonomi dan perdagangan,” katanya di sini baru-baru ini.

Malah jelas Noor Rezan, pelajar yang mampu menguasai bahasa berkenaan mempunyai peluang yang lebih besar untuk berjaya dalam karier masing-masing.

‘‘Ibu bapa, guru dan guru besar perlu memainkan peranan untuk menggalakkan pelajar mengikuti program ini, sekurang-kurangnya pelajar negara ini mampu menguasai tiga bahasa selain bahasa ibunda dan bahasa Inggeris,” tambahnya.

“Usaha serius Kementerian Pelajaran terhadap program tersebut juga dapat dilihat melalui aktiviti ‘turun padang’ Pejabat Pelajaran Daerah untuk memberi penerangan kepada pihak sekolah.

‘Selain itu, PPD juga memantau untuk mengenal pasti masalah yang timbul semasa pelaksanaan program tersebut sama ada ia melibatkan guru atau pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, program memperkenalkan bahasa Cina dan bahasa Tamil kepada pelajar SK bertujuan memperkasakan SK bagi memastikan ia kekal sebagai pilihan utama masyarakat Malaysia.

Menurut Noor Rezan, ia juga bertujuan memberi peluang kepada pelajar Cina dan India yang tidak dapat memasuki sekolah jenis kebangsaan (SJK) untuk mengikuti ciri-ciri pembelajaran yang sama di SK.

Beliau berkata, program bahasa Cina model 2 yang dilaksanakan di SK adalah sama seperti silibus yang diguna pakai oleh SJK Cina (SJKC).

Setiap pelajar akan mengikuti program berkenaan sekurang-kurangnya 30 minit bagi setiap waktu namun pihak sekolah boleh menghimpun waktu berdasarkan kesesuaian pelajar dan jadual waktu masing-masing, jelasnya.

Noor Rezan juga meminta guru besar untuk melaksanakan konsep jadual waktu anjal kepada para guru yang terlibat dalam program tersebut.

‘‘Jika guru terpaksa menghabiskan dua waktu selepas waktu persekolahan untuk melaksanakan program ini, guru-guru ini boleh dibenarkan masuk lewat dua waktu mengikut keanjalan jadual waktu masing-masing,” katanya.

Perluasan program tersebut pada tahun depan juga akan dilaksanakan berperingkat-peringkat melibatkan 100 lagi sekolah bagi program bahasa Cina dan 50 lagi sekolah bagi bahasa Tamil.

0 comments: