Kes bunuh Altantuya: Contoh darah ibu tak dapat dicam

Oleh Norhashimah Mohd Radzali

Saksi gagal kesan dengan tepat kad simpan darah

SHAH ALAM: Seorang doktor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, beliau tidak dapat mengecam dengan tepat kad FTA (Fast Track Analysis) mengandungi contoh darah ibu wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dikemukakan kepada mahkamah, adalah kad sama dibawa balik dari negara itu untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Pakar Perubatan Kecemasan, Dr Noor Azleen Ayop, 35, berkata beliau tidak dapat mengecamnya kerana tiada sebarang penandaan dibuat olehnya pada kad yang mengandungi empat titisan kesan darah kering milik Altansetseg Sanjaa.

(FTA ialah kad yang boleh menyimpan darah untuk tempoh masa yang panjang dan ia boleh dianalisis dengan cepat)

Saksi ke-53 pihak pendakwaan berkata beliau bagaimanapun hanya dapat mengecam sampul berisi kad itu kerana di luarnya terdapat meterai Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan tulisan tangan beliau iaitu sampel darah yang diambil daripada Altansetseg pada jam 11 pagi, 15 Mac tahun ini.

"Ia adalah sampul yang mengandungi contoh darah Altansetseg. Saya masukkan kad FTA itu ke dalamnya ketika di Mongolia, sebelum membawanya balik ke Malaysia untuk dimeterai dan diserahkan kepada DSP Gan (Pegawai Penyiasat, Deputi Superintendan Gan Tack Guan)," katanya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup ketika pemeriksaan semula, Dr Noor Azleen berkata, beliau hanya boleh mengecam kad FTA itu berdasarkan empat titisan kesan darah Altansetseg yang diambilnya.

Dr Noor Azleen berkata, beliau bagaimanapun tidak akan dapat mengecam kad FTA itu jika ada orang lain yang boleh membuat kesan titisan darah yang sama seperti yang dibuat olehnya pada kad berkenaan.

Disoal peguam bela Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar, Dr Noor Azleen bersetuju ada dua cara untuk mengambil contoh darah iaitu menggunakan kaedah darah yang diisi dalam botol EDTA (supaya tidak beku) dan kad FTA (darah dikeringkan).

Ahmad Zaidi: Kamu di Mongolia pada 15 Mac tahun ini dan sehingga sampul berisi contoh darah itu dimeterai di HKL pada 17 Mac, dalam tempoh dua hari ini di manakah kad FTA ditempatkan?

Dr Noor Azleen: Saya letakkan dalam satu peti berkunci yang saya bawa dari Malaysia dan peti itu sentiasa berada bersama saya. Jika saya keluar dari bilik hotel, saya akan membawa kunci bersama.

Terdahulu, Dr Noor Azleen memberitahu mahkamah pada 10 November tahun lalu, beliau dan pembantunya ke Hotel Eastin bersama DSP Gan untuk mengambil contoh darah daripada bapa Altantuya, Setev Shaariibuu.

"Contoh darah yang diambil daripada Setev dimasukkan ke dalam botol EDTA. Botol itu kemudian dimasukkan ke dalam sampul berwarna putih, dilabel dan dimeterai, sebelum diserahkan kepada DSP Gan," katanya.

Dr Noor Azleen berkata, pada 15 Mac tahun ini, beliau dan DSP Gan ke ibu pejabat polis Ulan Bator Mongolia untuk mengambil contoh darah Altansetseg.

Sementara itu, saksi ke-52 pihak pendakwa, Ketua Jabatan Digital Forensik di Cyber Security Malaysia, Aswami Fadillah Mohd Ariffin, 36, berkata beliau tidak dapat mengesan semua panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada ketiga-tiga tertuduh dan individu yang dikaitkan dengan kes pembunuhan Altantuya.

Aswami berkata, daripada 13 telefon bimbit yang diserahkan polis kepadanya, beliau hanya dapat mengesan panggilan masuk dan keluar serta SMS yang lengkap daripada telefon bimbit milik tertuduh ketiga, Abdul Razak Abdullah Baginda dan penyiasat persendirian yang diupah Abdul Razak, P Balasubramaniam.

Beliau berkata, daripada 13 telefon bimbit itu, ada antaranya hanya menyimpan maklumat mengenai panggilan dan tiada rekod SMS, manakala ada juga yang mengandungi rekod panggilan tetapi tiada rekod menerima.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah ketika pemeriksaan utama, Aswami berkata keadaan itu berlaku kerana tiada rekod transaksi diperoleh pada tarikh dan waktu yang dikehendaki iaitu antara 17 dan 19 Oktober tahun lalu.

Aswami berkata, beliau hanya menganalisis panggilan dan SMS yang diminta oleh polis berhubung 13 pemilik telefon bimbit, 15 kad sim dan dua laptop. Antaranya milik ketiga-tiga tertuduh, Altantuya dan Pegawai Kanan Polis DSP Musa Safri.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam J Kuldeep Kumar yang mewakili tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri, Aswami berkata maklumat di dalam pangkalan data boleh dicerobohi oleh mereka yang pakar dalam sistem teknologi komputer.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung hari ini.

0 comments: