Tuanku Mizan pamer kecekapan kendali PT-91M


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menguji dan memandu sendiri PT-91M, kereta kebal pertama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Gemas, semalam.

GEMAS 19 Nov. – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini berangkat ke Kem Syed Sirajuddin di sini untuk sesi pandu uji dan tembakan kereta kebal PT-91M.

Seri Paduka memandu uji persenjataan terbaru dalam inventori Tentera Darat (TD) itu di padang kawad Rejimen Ke-11 Kor Armor Diraja (11 KAD) selepas diberi penerangan oleh Ketua Tim Projek Tank, Kolonel Mohd. Safian Mohd. Ali.

Tuanku Mizan mempamerkan kebolehannya mengendalikan kereta kebal canggih buatan Poland itu mengelilingi padang kawad beberapa kali dengan variasi gaya pemanduan yang pelbagai termasuk pergerakan agresif sewaktu melakukan pusingan.

Sejurus menyesuaikan diri dengan kereta kebal PT-91M, Seri Paduka meneruskan pemanduannya ke Tapak Tembak Lanjutan Armor di Asahan, Melaka yang terletak kira-kira 15 kilometer dari padang kawad 11 KAD.

Perjalanan menuju ke tapak tembakan itu membabitkan laluan yang berbukit-bukau sekali gus menguji kecekapan pemanduan Tuanku Mizan yang sememangnya meminati sukan lasak termasuk berkuda.

Sewaktu berada di tapak tembakan itu, Seri Paduka menguji sistem persenjataan kereta kebal PT-91M dengan melepaskan enam butir peluru Armour Piercing (AP-T), 200 butir peluru 7.62mm dan 200 butir peluru 12.7mm.

Hadir sama menyaksikan sesi pandu uji dan tembakan itu ialah Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifeli Mohd. Zin; Panglima 1 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Shahrani Tan Sri Mohd. Sany; Panglima 1 Briged Mekanis, Brigedier Jeneral Datuk Mohamed Batcha dan Pengerusi KAD, Brigedier Jeneral Che Hasni Che Ahmad.

Pemerolehan kereta kebal PT-91M bermula dengan termeterainya kontrak perolehan antara kerajaan Malaysia dan syarikat FTE Bumar Labedy pada 11 April 2003 membabitkan kos RM1.4 bilion bagi 62 kereta kebal pelbagai varian dan sistem sokongannya.

Pada masa ini sebanyak enam buah kereta kebal PT-91M telah diterima manakala bakinya bersama kenderaan sokongan akan tiba secara berperingkat-peringkat tahun depan.

Bagi mewujudkan pasukan terlatih mengendalikan sistem persenjataan terbaru itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dan akan menghantar 104 anggotanya menyertai pelbagai kursus di Poland bermula September lalu hingga Oktober 2008.

0 comments: