Dewan Rakyat: Henti 'perkosa' hutan di Lojing

Laporan Rohaniza Idris

Kerajaan diminta ambil tindakan terhadap pembalakan haram di Gua Musang

KUALA LUMPUR: Penyokong kerajaan mendesak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengambil tindakan tegas terhadap pembalakan haram di kawasan tanah tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan.

Mereka menyifatkan pembalakan haram itu satu bentuk �perkosaan� terhadap tanah dan hutan yang jika tidak di ambil tindakan segera akan menyebabkan negara mengalami kerugian.

Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) berkata, tindakan kerajaan Pas Kelantan di tanah tinggi Lojing memerlukan tindakan segera supaya alam sekitar dan kawasan hutan tidak terus dicemari.


"Kemungkaran ini jangan kita biarkan. Kalau dibiar, masa depan generasi kita akan suram dan kelam," katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2008 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata, kerajaan Pas Kelantan menggunakan alasan menggondol kawasan tanah tinggi itu untuk mengambil emas tetapi sebenarnya satu �perkosaan� terhadap tanah hutan yang berharga.

"Ramai yang minta tindak tegas diambil, namun bila dengar jawapan kononnya kementerian tidak ada kuasa menahan perkosaan itu, siapa lagi yang boleh kita harapkan. Kita harap sangat kementerian ini boleh menyelamatkan (kawasan berkenaan) daripada kerajaan negeri yang jelas menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan tertentu," katanya.


Turut menyokong Datuk Ir Shaari Hassan (BN- Tanah Merah) yang menyatakan pencerobohan besar tanah tinggi Lojing itu disebabkan sikap rakus kerajaan Pas Kelantan meraih kekayaan daripada kawasan itu.

Beliau berkata, kerakusan itu semakin menyedarkan rakyat Kelantan yang mahu pengurusan hutan dapat dibuat secara teratur.

Katanya, hutan jika tidak diuruskan dengan baik boleh menyebabkan penduduk sekitar terutama orang Asli hilang punca pendapatan.

"Hari ini, kita tahu hutan di Kelantan hampir pupus. Balak ditanam kerajaan Barisan Nasional (BN) 20 atau 30 tahun lalu ditebang dan digondolkan oleh kerajaan Pas. Sedangkan usaha ke arah memulihkan hutan tidak ada.

"Pas tidak berusaha bersungguh-sungguh memulihkannya kerana hanya memikirkan keperluan semasa dan memenuhi kehendak nafsu hari ini tanpa memikirkan generasi akan datang yang perlukan hutan untuk kegunaan mereka," katanya.

Sementara itu, Datuk Che Min Che Ahmad (BN-Pasir Puteh) yang mencelah perbahasan Shaari berkata, aktiviti pembangunan hutan yang dilakukan Pas Kelantan akan menyebabkan sumber khazanah alam kehabisan.

0 comments: