Daripada Mutazar Abdul Ghani dan Johan Afendi di Singapura
BINCANG ISU: Abdullah bersama Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar (dua dari kanan) pada mesyuarat anggota BIMP-EAGA, semalam. Turut kelihatan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah (kiri) dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (lima dari kiri). |
Semua pihak tidak patut berbalah isu hak asasi manusia babit masalah Myanmar: PM
SINGAPURA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua pihak melihat Piagam Asean, yang diterima dan disahkan mesyuarat Menteri-menteri Luar pertubuhan itu semalam, daripada perspektif yang lebih luas dan bukan hanya dalam konteks isu Myanmar.
Perdana Menteri berkata, Piagam yang memberi identiti perundangan kepada Asean itu adalah satu dokumen penting untuk pertubuhan serantau berkenaan memperkasakan diri menghadapi persaingan.
Beliau berkata, piagam itu akan menjadikan negara anggota Asean lebih bersatu dan mempunyai kekuatan sebagai satu wilayah untuk bersaing dengan kuasa ekonomi dunia.
"Sebab itu, kita kena cepat... kita tidak mahu berbalah dalam isu hak asasi manusia terutama masalah Myanmar. Piagam ini, sudah tentu dapat membawa Asean menjadi satu kuasa baru terutama dalam bidang ekonomi," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, semalam.
Menteri-menteri Luar Asean pada mesyuarat semalam menerima dan mengesahkan Piagam yang disemak semula itu, tanpa ulasan lanjut.
Piagam yang menerima kritikan kumpulan pemantau hak asasi manusia kerana tidak memasukkan tindakan sekatan atau penyingkiran terhadap anggota yang tidak mematuhi peruntukan Piagam, dijadual ditandatangani pemimpin Asean pada Sidang Kemuncak Asean Ke-13 hari ini.
Asean juga menjadi sasaran kritikan kerana enggan mengenakan sebarang tindakan terhadap Myanmar yang didakwa melakukan pencabulan hak asasi manusia.
Abdullah berkata, apa pun pandangan terhadap Piagam itu, mesyuarat peringkat menteri sudah menerima dokumen berkenaan.
"Kita tentulah menerima keputusan itu. Kita tak mahu menjadi negara yang berkecuali kerana jika demikian, ini bermakna Piagam itu tidak mendapat persetujuan bersama.
"Apa yang penting ialah kita melihat Piagam itu dalam konteks lebih luas untuk membantu meningkatkan kerjasama negara Asean dalam bidang ekonomi dan bidang lain," katanya.
Perdana Menteri berkata, piagam itu juga adalah langkah ke hadapan Asean yang akan memberi kekuatan kepada rantau ini dalam menghadapi persaingan.
Terdahulu, Abdullah mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah. Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Perdana Menteri berkata, Malaysia mahu negara Kawasan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan Kawasan Pertumbuhan Asia Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) meneroka bentuk kerjasama ekonomi baru, termasuk menubuhkan syarikat usaha sama.
Beliau berkata, pembentukan syarikat usaha sama dapat membantu negara ahli meneroka pasaran dengan lebih luas, sekali gus memberi banyak manfaat kepada negara terbabit.
"Sebagai contoh, jika negara BIMP-EAGA menubuhkan syarikat perikanan untuk meneroka laut dalam dengan setiap negara memegang ekuiti sama rata dalam perniagaan itu, sudah tentu kawasan tangkapan akan menjadi lebih luas.
"Selain itu, kapal ikan terbabit tidak perlu bimbang menangkap ikan di kawasan perairan negara lain kerana ia dimiliki semua negara dalam perairan berkenaan," katanya.
Abdullah berkata, pelaburan yang besar itu juga dapat menjana peluang pekerjaan kepada lebih ramai rakyat negara anggota IMT-GT dan BIMP-EAGA.
Katanya, negara anggota BIMP-EAGA dan IMT-GT juga boleh meluaskan rangkaian hubungan termasuk perhubungan darat, laut dan udara, selain komunikasi.
"Malaysia juga mahu negara ahli IMT-GT supaya turut terbabit dalam pembangunan koridor ekonomi yang dimajukan Malaysia, seperti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), kerana ia mempunyai potensi pelaburan yang baik," katanya.
INFO
Piagam Asean (Pendirian Malaysia)
0 comments:
Post a Comment